Rabu, 31 Mei 2017

PAS sukar takluk kembali Terengganu...


PAS sukar takluk kembali Terengganu, kata penganalisis
Pengundi Cina beralih arah, perpecahan dalaman PAS serta hubungan PAS dan Umno yang makin kukuh boleh menjadi faktor kegagalan PAS menakluk Terengganu.
KEYAKINAN PAS untuk menawan Terengganu pada PRU14 akan terhalang disebabkan satu fakta,  sejumlah ketara undi Cina akan beralih arah dan menyebabkan kekalahan mereka di beberapa kerusi, kata penganalisis.
Penganalisis meramalkan, sukar bagi PAS untuk mengekalkan 8 daripada 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada PRU14 disebabkan perpecahan dalaman dan sekiranya kaum Cina tidak memberikan sokongan.
“Terdapat beberapa kerusi DUN PAS berada dalam keadaan goyah seperti Tepuh, Teluk Pasu, Alor Limbat, Bukit Payung, Rantau Abang, Sura dan Paka disebabkan perpecahan dalaman PAS serta (hubungan dengan) Umno semakin bersatu.
“DUN Chukai sukar dipertahankan jika pengundi Cina menarik kembali sokongan kepada PAS,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Baka.
DUN Chukai mempunyai peratusan pengundi Cina yang agak tinggi iaitu sekitar 17 peratus. Selain Chukai, DUN Bandar yang kini disandang PKR mempunyai peratusan pengundi Cina yang tinggi iaitu 37 peratus.
PAS dijangka akan bertanding di DUN Bandar disebabkan kerjasama politik mereka dengan PKR sudah terputus.
Pada PRU13 lepas, Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN. Sementara PAS menang 14 dan PKR menang 1 kerusi DUN di Terengganu.
Isnin lalu, The Malaysian Insight melaporkan pemimpin akar umbi PAS yakin dapat menawan kembali Terengganu sekalipun berlaku pertembungan tiga penjuru.
Faktor utama keyakinan pemimpin akar umbi PAS ialah perbalahan dalaman kronik di kalangan pemimpin Umno negeri dan ketidakupayaan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman untuk menggembalikan perpaduan.
Hisommudin bagaimanapun berkata, Ahmad Razif kini semakin berjaya melunakkan kemarahan penyokong bekas menteri besar Ahmad Said dan berkemungkinan besar mampu merapatkan barisan kepimpinan Umno Terengganu.
“Sekiranya Umno mengekalkan Ahmad Razif mengetuai pilihan raya, elemen protes sudah dikendurkan dan berjaya mengumpulkan kekuatan Umno di beberapa kawasan yang tewas tipis kepada PAS.
“Hasrat PAS untuk menawan DUN Terengganu adalah mencabar tambahan lagi dengan PAS bersendirian dalam politik sekarang,” katanya.
Beberapa DUN PAS di Terengganu dalam keadaan goyah, kata penganalisis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Mei, 2017.
Beberapa DUN PAS di Terengganu dalam keadaan goyah, kata penganalisis.
Jalan sukar PAS rampas kerusi Umno
Hisommudin menambah, kejayaan PAS memenangi 14 kerusi DUN pada PRU13 lalu disebabkan kempen bersama Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa faktor mikro yang lain.
“Ketika itu juga tiada lagi pecahan dalaman PAS. Sekarang, situasi berbeza kerana PAS kehilangan semua faktor di atas,” katanya.

Selain sukar mengekalkan kerusi DUN yang dipegang mereka sekarang, Hisomuddin juga berpendapat PAS sukar untuk merampas kerusi dimenangi Umno pada PRU13.
“Bagi kerusi DUN Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut, Umno menang pada PRU13 dan kuat kerana perpecahan PAS yang kritikal zaman Ustaz Abdul Latif Muhammad,” katanya merujuk kepada pengasas PAS Besut yang pernah dipecat parti Islam itu satu ketika dahulu.
“Sekarang sebahagian pengikut beliau sudah menyertai Amanah,” kata Hisommudin merujuk kepada Latif yang meninggal dunia pada 2014.
Menurut Ilham Centre, kerusi seperti DUN Jabi, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Pengkalan Berangan, Telemung, Kuala Berang dan Ajil merupakan kubu kuat Umno di Terengganu dan PAS sukar untuk memenanginya.
Sementara Penganalisis Politik Ibrahim Suffian mengatakan agak sukar bagi PAS untuk menawan Terengganu sekiranya berlakunya pertembungan tiga penjuru.
“PAS mempunyai peluang untuk menawan Terengganu.
“Tetapi ini bergantung sama ada berlaku pertembungan satu lawan satu dan jika sekiranya mereka menawarkan calon yang menarik,” kata pengarah Merdeka Center itu kepada The Malaysian Insight.
Ibrahim menambah, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru, PKR dan Amanah sudah pasti akan “mencuri” serba sedikit undi yang diperolehi PAS sekaligus menggagalkan usaha parti Islam itu untuk menawan Terengganu.

1 ulasan:

  1. Tidak hairan jika selain Terengganu,
    pas akan kehilangan Kelantan juga krn 1) bertanding bersendirian,2) perpindahan penyokong ke pan, 3) rakyat tak yakin pas mampu memberikan kesejahteraan ekonomi. Hanya pandai ceramah agama.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA