Khamis, 11 Mei 2017

PAS kata panel forum RUU355 buat andaian jahil

PAS berpendapat bekas ketua hakim Syarie Terengganu dan pihak lain tidak "mengelirukan masyarakat" dengan membuat andaian dan persepsi "jahil" mengenai rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355).
Kata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, itu adalah langkah paling minimum dapat dibuat jika tidak mahu membantu "usaha murni" mereka meminda akta berkenaan.
Mengulas kenyataan dibuat Datuk Ismail Yahya pada 9 Mei lalu, Nasrudin berkata, pemimpin PAS sudah memberikan penjelasan panjang lebar dan dari perspektif yang pelbagai mengapa parti itu mencadangkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - nama lain bagi Akta 355 - itu perlu dipinda.
"Tujuan PAS membentangkan RUU355 adalah untuk memartabatkan institusi mahkamah syariah di negara ini bagi membolehkannya menjatuhkan hukuman selari dengan syariat Islam yang sebenar.
"Usaha PAS ini bertepatan dengan peruntukan perlembagaan dan bersesuaian dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anggota parlimen Temerloh itu mengulas kenyataan dibuat Ismail yang mempersoalkan sama ada pindaan dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat lalu.
Melalui cadangan dibawa Abdul Hadi itu, PAS mencadangkan supaya peruntukan hukuman maksmimum bagi kesalahan jenayah ditingkatkan kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan sebat 100 kali.
Ismail mempersoalkan sama ada cadangan dibawa itu benar-benar dapat memberi keadilan dan kesaksamaan sehingga Islam dapat dilihat lebih menarik atau sebaliknya.
Beliau juga mengingatkan, walaupun undang-undang syariah adalah adil, pelaksanaan yang salah hanya akan membuat masyarakat menjauhi Islam.
Tetap bersikap terbuka
Ismail - bersama seorang lagi panel, pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Rozaimi Ramle - turut membangkitkan isu sama ada RUU355 itu akan menjadi undang-undang walaupun mendapat sokongan semua anggota parlimen.
Ia merujuk kepada proses penggubalan undang-undang yang memerlukan ia dibawa oleh kerajaan sendiri dan bukannya secara persendirian oleh anggota parlimen bukan kerajaan.
Ismail dan Rozaimi bercakap pada forum Terus Terang anjuran Invoke di Kuala Lumpur. Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, menjadi pengerusi forum berkenaan.
Nasrudin berkata, sokongan ulamak, cendekiawan Islam, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam kepada usul PAS itu memperlihatkan kepentingan dan kewajarannya.
Justeru, katanya, ia tidak harus diremeh atau diperlecehkan.

"Sepatutnya, Datuk Ismail Yahya dan lainnya bersama-sama membantu usaha murni ini, atau sekurang-kurangnya tidak mengelirukan masyarakat dengan andaian dan persepsi yang dibuat akibat kejahilan diri sendiri tentang RUU355 ini," katanya.
Bagaimanapun, kata Nasrudin, PAS tetap terbuka dengan sebarang kritikan dan cadangan daripada mana-mana pihak.
Sekiranya Ismail berpendapat ada kaedah yang lebih munasabah dan berkesan, katanya, PAS mengalu-alukan dan menggesa beliau segera memulakan inisiatif berkenaan.
"PAS juga terbuka menerima undangan serta kunjungan pelbagai pihak bagi menjelaskan lagi berkenaan RUU355 ini," katanya.

1 ulasan:

  1. Tak payahlah PAS nak buang masa konon nak beri keterangan ...semua org dah faham dah

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA