Ahad, 14 Mei 2017

PAS dijangka bincang status exco Selangor 18 Mei

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, jawatankuasa PAS dijadual bermesyuarat 18 Mei dan ia akan diumumkan sekiranya keputusan dicapai.
Hashim-Jasin-pasPETALING JAYA: PAS pusat dijangka akan membuat keputusan mengenai status 3 exconya dalam kerajaan negeri Selangor pada Khamis ini.
Mursyidul Amnya, Hashim Jasin berkata, jawatankuasa PAS dijadual bermesyuarat 18 Mei dan ia akan diumumkan sekiranya keputusan dicapai.
“PAS pusat mempunyai lujnah politik yang bertugas sepenuh masa, maka kita serah balik kepada mereka untuk menentukan kedudukan 3 exco Selangor daripada PAS,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Jentera Pilihan Raya PAS Kepala Batas di Kepala Batas, hari ini.
Dipetik Bernama, kata beliau, Majlis Syura Ulama PAS akan menyerahkan kepada jawatankuasa PAS pusat untuk menentukan kedudukan anggota Exconya di Selangor.
Hashim menyifatkan berkemungkinan ada pihak lain yang lebih berkuasa untuk tidak membenarkan 3 Exco PAS itu meletak jawatan.
“Padahal menteri besar Selangor boleh rombak barisan exco itu, pasal apa beliau tidak berbuat demikian, itulah teka tekinya.
“Itu lah sebabnya Majlis Syura menyerah balik kepada jawatankuasa PAS pusat untuk membuat keputusan mengenai kedudukan anggota exco itu,” katanya.
Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini sebulat suara mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara PAS dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.
Semalam, PAS Selangor menolak dakwaan bahawa 3 exconya akan dipecat daripada barisan pentadbiran kerajaan Selangor susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, kedudukan 3 exco PAS itu tetap dikekalkan sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, sepertimana yang dinyatakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.
“Tidak timbul isu (pecat) ini. Dalam pertemuan dengan menteri besar semalam pun, (Mohamed) Azmin tidak mengeluarkan kenyataan untuk memecat mahupun meminta exco PAS untuk melepaskan jawatan mereka masing-masing.
“Ini hanyalah andaian dan khabar angin pihak luar sahaja, kita berpendirian untuk kekal kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada pilihan raya umum yang lepas,” katanya.

Datuk Dr Ahmad Yunus yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam barisan exco kerajaan negeri turut menafikan dakwaan isu pemecatan itu.
“Tiada kenyataan yang keluar dari mulut menteri besar sendiri berhubung isu pemecatan itu. Sebab itu, saya terkejut bila isu ini keluar dalam beberapa laporan media hari ini. Kita sendiri tidak tahu siapa yang mencipta isu ini.
“Mesej menteri besar yang terkini kepada saya adalah beliau kata akan letak kita (exco PAS) dalam Kabinetnya,” katanya.
Kerajaan Selangor yang dipimpin Azmin mempunyai komposisi exco yang sama bilangan iaitu masing-masing 3 orang terdiri keanggotaan daripada PKR, DAP dan PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA