Ahad, 28 Mei 2017

Pakatan Harapan: Rundingan kerusi bermula di 3 negeri

Rundingan pengagihan kerusi antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM itu dijangka selesai selepas Aidilfitri ini.
Khalid-Samad_pakatan_600PETALING JAYA: Rundingan pembahagian kerusi antara 4 parti komponen Pakatan Harapan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sudah bermula dan ia akan diperluaskan ke negeri lain menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut laporan Oriental Daily, rundingan antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM itu dijangka selesai selepas Aidilfitri ini.
Ketua Penerangan Amanah, Khalid Abdul Samad yang dipetik akhbar itu hari ini berkata, beliau sendiri sudah menyertai 4 mesyuarat bagi membincangkan pembahagian kerusi di 3 negeri itu.
Katanya, hampir setiap minggu mereka akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pembahagian kerusi di negeri berlainan.
“Rundingan seperti ini tidak boleh selesai segera, kami perlu dengar pandangan akar umbi, tetapi kami harap rundingan boleh selesai selepas raya nanti,” katanya kepada akhbar itu.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, PPBM tidak berhasrat bertanding di Sabah dan Sarawak kerana sudah ada Parti Warisan Sabah.
Katanya, rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen perlu bermula daripada peringkat akar umbi, sebelum diikuti negeri dan pusat.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, tidak timbul masalah besar dalam beberapa mesyuarat yang diadakan sebelum ini.
Tetapi, katanya, mereka bimbang mengenai masalah pertindihan kerusi yang perlu dibincangkan bersama.
“Kami tidak tetapkan 1 had atau tempoh untuk rundingan itu selesai, tetapi berharap ia boleh selesai selepas raya.
“Setakat ini, setiap minggu ada mesyuarat untuk negeri berbeza, kami harap boleh selesaikan masalah ini secepat mungkin.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu sudah menetapkan 2 syarat untuk rundingan pembahagian kerusi.
Pertama, katanya, PKR mahu terus bertanding di 30 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada PRU13.
“Ke-2, kerusi yang kalah dengan majoriti tipis perlu terus diberikan kepada PKR.”

Selain 2 syarat itu, katanya, PKR sedia berunding dan membenarkan parti komponen Pakatan Harapan bertanding di kerusi selebihnya.
Pada PRU13, PKR memenangi 30 daripada 99 kerusi Parlimen yang ditandinginya, manakala DAP pula memenangi 37 kerusi Parlimen.
Amanah dan PPBM yang baru ditubuhkan pada September 2015 dan September 2016, masing-masing mempunyai 6 ahli Parlimen serta seorang ahli Parlimen.
PRU14 perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA