Rabu, 17 Mei 2017

Pakatan Harapan mohon jumpa pengerusi SPR

R Sivarasa menyifatkan tindakan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah enggan menemui parti politik yang merupakan pelanggan SPR sebagai tidak profesional.
sivarasa-pakatan-harapanPETALING JAYA: Pakatan Harapan hari ini mahu mengadakan perjumpaan dengan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan proses pilihan raya yang didakwa tidak bebas dan adil.
Ia termasuk ketidaktelusan daftar pemilih yang merupakan dokumen paling penting untuk pilihan raya.
Wakil pakatan pembangkang itu, R Sivarasa menyifatkan keengganan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menemui parti politik yang merupakan pelanggan SPR sebagai tindakan tidak profesional.
“Pengerusi SPR terkini menampilkan tingkah laku amat tidak profesional dalam sejarah SPR yang secara tidak langsung merendahkan taraf badan itu daripada sebuah suruhanjaya yang sepatutnya bebas dan adil.
“Proses pilihan raya demokratik di negara ini tidak mencerminkan kebebasan dan keadilan.
“SPR tidak harus dan tidak boleh sama sekali menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional untuk memastikan parti itu dipilih semula dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” kata ahli Parlimen Subang itu pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Naib Pengerusi PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, parti politik perlu dibenarkan membeli salinan daftar pemilih pada harga munasabah.
“Juallah. Apa salahnya? Buat salinan dan jual. Kalau parti politik tiada peruntukan, tidak akan membelinya.
“Ini adalah kebebasan untuk parti politik membuat semakan. Itu adalah tanggungjawab parti politik dan perlu dihormati,” kata bekas pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008 itu.
Pada 29 April lalu, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pengarah pilihan raya negeri sudah diarahkan menghentikan pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti politik semasa Pameran RDPT.

“Tindakan tersebut bukan hanya terpakai kepada parti politik tetapi juga kepada semua pihak lain yang berkepentingan,” katanya sambil menambah keputusan itu dibuat memandangkan pameran RDPT memadai bagi membolehkan pihak berkepentingan memeriksa nama pemohon terbabit.
Keputusan itu bagaimanapun dibantah parti pembangkang yang menyifatkan ia satu penipuan dan cara SPR memenangkan BN pada PRU14.
Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pertemuan bersama pengerusi SPR juga untuk membincangkan isu borang daftar yang sukar didapati.
“Borang pendaftaran SPR seperti komoditi yang susah dimiliki. Rata-rata pejabat pos tidak mempunyai borang mencukupi untuk pendaftaran pengundi,” dakwanya.

1 ulasan:

  1. SPR susah sgt ke nak jd pengadil yg tak berat sebelah? Klu tak mampu, mengaku sajalah yg SPR buat kerja utk menangkan BN

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA