Jumaat, 12 Mei 2017

Najib sindir negarawan 'bercium mulut' dengan musuh


Najib membacakan doa sambil diaminkan para pemimpin dan anggota Umno yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil.Najib membacakan doa sambil diaminkan para pemimpin dan anggota Umno yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tanpa menyebut nama, amanat Datuk Seri Najib Razak sempena hari ulang tahun Umno ke-71 malam tadi dilihat sempat menyindir bekas 'bos' Presiden Umno itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menggunakan perlambangan berbaur lucah, Najib menganggap tindakan 'negarawan yang pernah kita sanjung' itu telah mengkhianati Umno demi kepentingan diri sendiri.
"Namun, sayang seribu kali sayang setelah lebih 70 tahun Umno berjuang dalam menentukan untung nasib orang Melayu dan rakyat Malaysia, setelah 60 tahun kita meraih kemerdekaan dan bersusah payah BN membawa kemajuan di negara ini, sungguh tidak disangka tidak pernah diduga ada satu, dua bekas pimpinan negara termasuk seorang negarawan yang pernah kita sanjung tergamak dan sanggup bersubahat berbuat khianat terhadap parti kita.
"Sanggup menjatuhkan pimpinan kita, sanggup memerangi Umno dan BN. Yang menyedihkan, beliau sanggup menjilat lidah, berdamping dan 'bercium mulut' dengan musuh, memerangi parti Umno yang pernah dipimpin beliau selama berpuluh tahun kerana agenda peribadi," tegas Najib.
Pengerusi BN itu selanjutnya mengaitkan negarawan berkenaan dengan doktrin memusuhi DAP sekaligus membenarkan tanggapan banyak pihak selama ini tentang orientasi politik Umno yang sengaja memainkan sentimen kaum dan agama.
"Kita tidak lupa, siapa yang mengajar kita selama ini, DAP itu parti perkauman. Siapa orang itu?
"Siapa yang mendidik kita selama puluhan tahun menanamkan kebencian terhadap parti DAP sebagai parti cauvinis dan rasis yang membenci Melayu dan Islam?" soal Najib lagi.
Mahathir, 92, kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang secara rasmi telah bersama-sama Pakatan Harapan untuk menentang Umno-BN pada PRU14 nanti.
Program di Stadium Nasional Bukit Jalil itu turut menyaksikan pengakuan Najib yang penuh bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU).

"Kita tidak berasa gentar. Kita tidak gundah gulana walau apapun cabaran mendatang yang cuba dilontarkan oleh pihak lawan, kitakan hadapi dengan segala kekuatan.
"Melihatkan sambutan yang sungguh meriah pada malam ini, semangat yang berkobar-kobar yang membakar, saya merasakan bahawa seolah-olah Umno baru kita tubuhkan malam ini.
"Hidup Melayu! Hidup Umno!," teriaknya sebanyak dua kali selain beberapa kali menuntut ahli parti itu mempertahankan Umno sehingga ke titisan darah yang terakhir.

1 ulasan:

  1. hahahah....aku rasa najib tak perlu nak gebang pasal mahathir dan DAP mcm tu kerana itu menunjukkan ketakutan najib kpd PH dah mula terasa.....kepala lutut najib dah menggeletor.....hihihihihi

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA