Rabu, 17 Mei 2017

Lepas jawatan politik: Pas harus faham isyarat PKR


Salahuddin Ayub...PKR tunjuk sikap bermaruah, isyarat jelas kepada PasSalahuddin Ayub...PKR tunjuk sikap bermaruah, isyarat jelas kepada Pas
Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan keputusan PKR mengarahkan semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan melepaskan jawatan sebagai sikap bermaruah dan berintegriti.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, sikap itu wajar dicontohi oleh mana-mana parti politik apabila memutuskan kerjasama politik dengan parti lain.
"Amanah sangat menghormati keputusan yang dibuat oleh mesyuarat Biro Politik PKR. Saya yakin segala keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan ahli mesyuarat selepas Pas megambil sikap memutuskan tahaluf (siyasi) dengan PKR.
"Kenyataan yang dikeluarkan (Datuk Seri) wan Azizah (Wan Ismail) mengarahkan Ahli Majlis Kelantan meletakkan jawatan adalah sikap yang bermaruah dan berintegriti.
"Apabila sesebuah parti membuat keputusan untuk memutuskan hubungan, PKR mengambil sikap berintegriti," katanya dalam sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini.
Mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi membuat keputusan bahawa semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.
Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir hari ini berkata, PKR Kelantan akur dengan keputusan itu dan akan melaksanakan semua keputusan itu.
Mengulas mengenai kedudukan exco Pas di Selangor pula, Salahuddin berkata parti itu seharusnya faham terhadap isyarat yang diberikan oleh PKR dan mengambil keputusan sama di negeri itu.
"Sebagai orang politik yang berintegriti saya rasa isyarat (PKR) malam tadi memberi gambaran yang jelas kepada Pas untuk membuat tindakan yang sama di Selangor," katanya.
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail malam tadi berkata, kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor akan diputuskan pimpinan PKR selepas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR kembali daripada lawatan kerja di luar negara.
"Kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor telah dibincangkan pada malam ini dan akan diputuskan pimpinan PKR bersama Datuk Menteri Besar Selangor sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke luar negara," katanya.

Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulamak Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.
Sejak perkara itu diputuskan, Azmin belum memberi sebarang kenyataan tentang nasib tiga Exco Pas yang berada dalam barisan Kabinet Negeri Selangor.
Isnin lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau telah bertemu dengan tiga exco berkenaan dan sehingga ini parti itu tidak dimaklumkan terdapat sebarang arahan supaya mereka meletak jawatan oleh Azmin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA