Ahad, 28 Mei 2017

‘Kuasa gelap’ jadikan PRU14 pertempuran kaum, agama..!!!

MENGGELAR mereka “kuasa gelap”, Lim Kit Siang hari ini mengecam mereka yang cuba menjadikan pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai pertempuran antara Melayu dan Cina, serta antara Islam dan musuhnya.
Ketua Parlimen DAP itu berkata senario itu tercipta untuk mendorong rakyat Malaysia berpecah dan tidak bersatu padu.
“Saya sudah cuba memberi amaran ada kuasa gelap yang cuba merangka PRU akan datang sebagai pertempuran antara Melayu dan Cina dan juga antara Islam dan musuh Islam.
“Ini senario salah dan tidak bertanggungjawab untuk menarik rakyat Malaysia ke dalam perkara yang tidak dapat dijangka, berselisih dan berpecah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berhubung buku pemimpin DAP yang dianggap sesetengah pihak sebagai alat berdakwah.
Buku autobiografi “Becoming Hannah Yeoh" oleh Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh dilancarkan penghujung 2014 tetapi menjadi kontroversi tahun ini apabila seorang ahli akademik berkata Yeoh menggunakannya untuk memurtadkan umat Islam.
“Rakyat Malaysia lelaki dan wanita dari semua masyarakat dan kepercayaan perlu bersama menyelamatkan negara ini daripada mereka yang terdesak merampas wacana negara dan menjadikan ia huru-hara untuk mencapai sesuatu dengan cara jahat,” katanya, merujuk kepada kontroversi buku itu.
Bercakap mengenai buku itu, Lim berkata perjalanan Yeoh dalam kepercayaan agamanya patut diamalkan oleh orang lain mengikut keimanan masing-masing dan ia sebenarnya sebahagian laluan untuk jadi rakyat yang baik.
“Ironinya Malaysia menganjurkan prinsip keadilan wasatiyyah (kesederhanaan), keseimbangan, saling menghormati dan kecemerlangan masyarakat, bangsa dan agama kepada dunia, tetapi bila dalam negara sendiri, wasatiyyah kelihatan memberi nilai bertentangan, ekstremis, berlebihan dan fanatik,” katanya, merujuk kepada langkah kesederhanaan Perdana Menteri Najib Razak.

DAP dan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) diserang pengkritik pro kerajaan dan cybertroopers yang mengejek kerjasama antara Lim dan yang dulu musuh politiknya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir keluar Umno dua tahun lalu dan kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru saja menyertai pembangkang untuk menggulingkan Najib dan Barisan Nasional (BN) daripada kuasa.
Kedua-dua gabungan itu akan berhabis-habisan dalam PRU untuk menewaskan BN tetapi PAS menarik diri daripada pakatan pembangkang susulan isu undang-undang Islam. Ia mahu bertanding di sekurang-kurangnya 100 kerusi Parlimen, menaikkan prospek berlakunya pertandingan tiga penjuru yang biasanya akan menguntungkan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA