Isnin, 29 Mei 2017

Kit Siang: Henti gaduh dan bersatu saing dengan dunia

Pemimpin veteran DAP itu berkata, rakyat Malaysia perlu menentang politik penipuan dan kebencian dengan bersatu menetapkan haluan dan dasar pembangunan negara.
Lim-Kit-SiangLim Kit Siang hari ini menggesa rakyat berhenti menentang satu sama lain dan menetapkan semula haluan serta dasar pembangunan negara untuk bersaing dengan lebih berkesan di peringkat antarabangsa demi kemajuan Malaysia.
Ketua Parlimen DAP itu ketika berucap dalam sebuah dialog di Selangor semalam berkata, beberapa kejadian baru-baru ini menunjukkan “politik penipuan, kebencian dan agama yang tidak sihat, mengganggu serta berbahaya, ditambah pula politik kaum dan agama yang tidak bertanggungjawab”.
Antaranya “kejadian tampar” pada Dialog Transformasi Negara 2050 (TN50) di Putrajaya, awal bulan ini yang menyaksikan pelakon Sulaiman Yassin yang dikenali sebagai Mat Over, menampar penerbit filem, Datuk David Teo di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mat Over mendakwa cara Teo bercakap “biadap”. Insiden itu menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati dengan beberapa NGO mendesak Teo memohon maaf, walaupun sudah berbuat demikian selepas ditampar.
Tidak sampai 10 hari, Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Zaidi Ahmad ditampar peserta kumpulan yang membantah campur tangan kerajaan negeri itu dalam isu fatwa, ketika mereka mengadakan protes di depan sebuah masjid di George Town, pada Jumaat lalu.
Lim juga merujuk ancaman bunuh ditujukan kepada Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof berhubung laman Facebook ‘DAP Laknatullah’ serta pertandingan esei “Lim Kit Siang rasis” anjuran Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sebagai reaksi langsung kepada beliau yang menggelarnya “bapa rasis”.
Satu lagi kejadian adalah dakwaan pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff terhadap buku biografi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, “Becoming Hannah: A Personal Journey” sebagai cubaan untuk mempengaruhi umat Islam terhadap ajaran Kristian.
“Rakyat Malaysia boleh dan perlu mempamerkan kepada dunia yang rakyat berbilang kaum, agama dan budaya boleh hidup dengan aman, harmoni, bertoleransi dan saling memahami, tetapi bukan dalam ketaksuban, tidak bertoleransi atau perselisihan,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Menjelang Hari Kebangsaan ke-60, Lim menggesa “semua rakyat berfikiran rasional” supaya menolak politik perkauman dan agama untuk memastikan keharmonian serta muhibah berterusan di kalangan rakyat berbilang kaum.
“Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, tempat mahupun politik, perlu bersatu menetapkan semula haluan dan dasar pembangunan negara untuk bersaing dengan negara lain, serta tidak bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan kita semakin berpecah-belah dan ketinggalan dalam persaingan antarabangsa dari segi pembangunan dan kemajuan”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA