Rabu, 31 Mei 2017

Kenaikan harga barang: Kegagalan agensi satu malapetaka


04-01-tinjauan-harga-barang-shuaibOLEH: MOHD SANY HAMZAN
Selepas perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barangan bukan lagi satu perkara yang janggal. Ia semakin menjadi-jadi apabila menjelang musim perayaan termasuklah memasuki bulan Ramadan.
Ramadan tahun ini adalah merupakan tahun paling sengsara buat rakyat khususnya berpendapatan rendah dan sederhana. Kos hidup di negara ini semakin meningkat naik dan harga barangan tidak lagi mampu dikawal oleh kerajaan melalui agensinya.
Menjelang Ramadan baru-baru, rakyat di semua peringkat merintih tentang kenaikan harga barangan terutama barangan keperluan asas. Antara yang naik termasuklah harga barangan basah seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya.
Keluhan ini turut disuarakan oleh para peniaga khususnya di bazar Ramadan yang menjadi kelompok paling terkesan akibat kegagalan kerajaan mengawal harga barang. Kenaikan kos ini memaksa para peniaga menaikkan harga jualan yang pastinya memberikan kesan besar kepada para pembeli.
Para peniaga tidak lagi mampu untuk mengekalkan harga asal kerana terpaksa menanggung dan menampung kos yang semakin meningkat. Mereka perlu memikirkan keuntungan yang diperoleh selari dengan modal yang dikeluarkan.
Hakikatnya, apa yang berlaku ketika ini mendapati Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seolah-olah tiada fungsinya. Kementerian ini gagal untuk menjalankan tugasnya bagi memastikan harga barangan selari dengan harga yang ditetapkan.
KPDNKK lebih cenderung untuk menyalahkan pemborong tanpa menginsafi kelemahan yang ada pada mereka menyebabkan perkara ini berlaku. KPDNKK sewajarnya membuktikan mereka adalah lebih berkuasa daripada semua termasuklah para pemborong.

Kegagalan fungsi penting kerajaan seperti KPDNKK ini adalah satu malapetaka besar buat negara, kerajaan yang ada tidak lagi mampu untuk mengurus hal negara khususnya melibatkan kepentingan rakyat. Apabila agensi tidak berperanan, maka berlakukah pengurusan cacar merba seperti yang berlaku pada hari ini!
Oleh yang demikian, Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan meningkatkan lagi fungsi agensi-agensinya dalam memastikan harga barangan di negara ini dapat dikawal. Kerajaan perlu mereformasi agensi-agensi berkaitan agar ia lebih berfungsi dengan lebih efisyen dan bertanggungjawab!

#PemudaBekerja
Membina Negara Berintegriti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA