Rabu, 10 Mei 2017

Kementerian Kewangan mesti jelaskan sebab pemecatan Arul Kanda

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Kementerian Kewangan digesa menjelaskan sebab sebenar di sebalik pemecatan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata, ini kerana menurut laporan portal, The Malaysian Insight yang memetik sumber sebagai berkata, Arul Kanda dipecat ekoran terdapat “konflik kepentingan”.
“Ini amat mengejutkan kerana Arul sepatutnya bertindak dalam lingkungan kepentingan Kerajaan Malaysia atau pembayar cukai di negara ini.
“Apakah ‘konflik kepentingan’ itu sehingga menyebabkan dia disingkirkan daripada Lembaga Pengarah?” soal Tony dalam kenyataan, hari ini.
Arul Kanda dipecat sebagai anggota lembaga pengarah Bandar Malaysia dan TRX City dua hari selepas 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia gagal dijual kepada Konsortium Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH)-China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).
Bandar Malaysia dan TRX City diambil alih oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF) daripada 1MDB pada 31 Mac lepas.
Justeru, Arul Kanda beralasan bahawa adalah menjadi hak istimewa (prerogatif) MoF untuk menyingkirkan beliau sebagai anggota lembaga pengarah kedua-dua syarikat berkenaan ekoran pengambilalihan tersebut.
Namun, menurut Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP, tidak ramai yang akan percaya dengan penafian Arul Kanda bahawa pemecatannya itu kononnya bukan disebabkan oleh kegagalan urusniaga projek pembangunan Bandar Malaysia.

“Jika benar, mengapa tunggu setelah dua hari selepas urusniaga dengan IWH-CREC itu gagal? Kenapa tidak dilakukan pemecatan pada Mac lagi? Ketika kedua-dua syarikat itu diambil alih?” soalnya.
Justeru, Tony menggesa Kementerian Kewangan harus segera tampil menjernihkan isu “konflik kepentingan” berkenaan.
“Soalan seterusnya dalam fikiran semua orang adalah, ekoran kini Arul Kanda kehilangan kepercayaan daripada Kementerian Kewangan, adakah peranan dia sebagai Presiden dan CEO 1MDB akan terus bertahan, dan untuk berapa lama?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA