Ahad, 14 Mei 2017

Isu pekerja jadi keutamaan penulis manifesto HARAPAN

Pembuat dasar dalam Pakatan Harapan percaya reformasi pekerja perlu menjadi keutamaan khususnya mengenai isu gaji minimum dan pekerja asing sekiranya membentuk kerajaan persekutuan kelak.
Bercakap pada pelancaran buku panduan Bina Semula Negara yang ditulis Rafizi Ramli hari ini, pemimpin HARAPAN memuji usaha naib presiden PKR itu dengan mengatakan banyak idea berkenaan memerlukan perhatian serius.
Antara lain, buku panduan itu mencadangkan sasaran bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing sebanyak 80 peratus menjelang tahun 2035.
Rafizi berkata ini boleh dilakukan dengan mengenal pasti sektor dan sub-sektor yang sedang mencari pekerja asing walaupun dilarang berbuat demikian di bawah undang-undang.
Industri perkhidmatan makanan, sebagai contoh, hanya dibenarkan untuk mengupah tukang masak atau pencuci, tetapi amalan ini tidak berlaku, katanya.
Bercakap dalam forum selepas pelancaran buku itu, pengarah penyelidikan Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad berkata reformasi pekerja perlu diteliti Jawatankuasa Manifesto dan Dasar HARAPAN.
Anggota Parlimen Serdang Ong King Ming berkata, pada masa ini, kerajaan kelihatan ragu-ragu mengenai isu-isu buruh, dengan merujuk skim insurans pekerjaan sebagai contoh.
Katanya, walaupun pekerja dan pembangkang menyokong skim ini yang bertujuan memberi bantuan kewangan kepada pekerja yang diberhentikan, kerajaan kelihatan terpengaruh dengan majikan yang menentang.
"Kedua-dua (majikan dan pekerja) tidak pernah berunding bersama-sama (pada masa yang sama)," kata Ong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA