Jumaat, 12 Mei 2017

Implikasi selepas PAS dan PKR sah ‘bercerai’


Implikasi selepas PAS dan PKR sah ‘bercerai’
Pada muktamar PAS bulan lalu perwakilan mengusulkan putus hubungan dengan PKR, dan ia dimuktamadkan di Majlis Syura semalam.
PAS secara rasminya memutuskan hubungan dengan PKR, dan itu bukan berita sebenarnya bagi sesiapa yang sudah pun menjangkakannya sejak dulu lagi.
Perpecahan itu tidak dapat dielakkan selepas parti Islam itu menguburkan Pakatan Rakyat (PR) apabila ia memutuskan ikatan dengan sekutu DAP pada Julai tahun lalu, dan kemudian bulan lalu ia mengisytihar parti pembangkang baharu Bersatu sebagai “tiada pemimpin” pada muktamar yang turut mengusulkan supaya hubungan dengan PKR diakhiri.
Jadi apa akan berlaku sekarang kerana PAS bertegas ia masih dalam kerajaan Selangor di mana kira-kira 5,000 ahlinya, masih memegang pelbagai jawatan dalam pentadbiran negeri sehingga pilihan raya umum akan datang?
Bolehkah parti yang diterajui presiden Abdul Hadi Awang terus memegang kuasa, dengan meninggalkan pakatan pembangkang dan menjadi kuasa ketiga, walaupun kerjasama bersama Umno semakin berkembang?
The Malaysian Insight mendapatkan reaksi beberapa penganalisis yang menjelaskan implikasi perpecahan itu dan apa akan berlaku menjelang pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018.
Pertandingan 3 penjuru pada PRU14 tidak dapat dielakkan
Dalam dua PRU lalu, PR menang lebih banyak kerusi Parlimen dan DUN, kerana pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN). Ia juga menyebabkan BN hilang undi popular pada PRU 2013.
Tidak lagi. PAS dijangka kalah di kerusinya jika bertanding melawan bekas sekutunya dan juga BN, terutama Umno kerana parti itu memegang undi Melayu. Akibatnya Umno mungkin akan menang kerusi berkenaan kerana PAS dan parti pembangkang lain berebut untuk mendapatkan undi.
Pengarah Strategi Amanah Dzulkefly Ahmad berkata rakyat dan pengundi semakin jelas siapakah sebenarnya yang menolak formula “Satu Lawan Satu”.
“Rakyat juga harus tahu siapa yang akan memberikan kemenangan kepada Umno-BN dengan pertandingan tiga penjuru,” katanya.
Katanya, segala usaha khasnya pimpinan PKR dan Bersatu sehingga ke hari ini untuk meyakinkan dan “memujuk” PAS mewujudkan “persefahaman pilihan raya” atau “persefahaman politik” hampir mustahil atau gagal dicapai.
PAS bertegas kekal dalam Selangor kerana ia mengawal masjid dan surau
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata PAS berkemungkinan besar tidak akan keluar daripada kerajaan Selangor kerana mereka mempunyai kira-kira 5,000 jawatan di negeri itu sehingga ke peringkat akar umbi.
“Jawatan lantikan politik seperti ahli majlis, ahli jawatankuasa masjid/surau dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh Selangor yang punyai elaun bulanan," katanya.

Beliau berkata jika bertindak atas prinsip, maka berlaku pertembungan kuasa dan keperluan.
“PAS ambil semua aspek ini, maka kemungkinan besar kekal dalam kerajaan Selangor sehingga bubar Parlimen.
“Implikasi jika keluar kerajaan negeri, semua jawatan lantikan politik akan diisi PKR, Amanah dan PPBM. Sudah tentu PAS akan hadapi masalah untuk menggunakan instrumen sedia ada untuk akses kepada pengundi,” katanya.
Peluang PH memenangi PRU14 makin sukar
Hisomuddin berkata keputusan PAS ini membayangkan parti Islam itu akan bertanding di kebanyakan kerusi pada PRU14, termasuk kerusi yang “dipinjamkan” kepada PKR sebelum ini.
“Keputusan putus hubungan juga membayangkan PKR kena memikirkan langkah politik mereka dengan parti komponen PH melebihi usaha memujuk PAS kerana masa kian suntuk.
“Pendek kata, apa saja usaha membabitkan untuk menarik PAS untuk strategi satu lawan satu (bersama PH) hampir menemui jalan buntu,” katanya.
Bagaimanapun, Hisomuddin berkata beliau yakin Selangor dapat dipertahankan tanpa PAS pada PRU14 jika kerajaan pimpinan PKR itu bertindak pantas.
“Aspek kebolehmenangan PH di Selangor memerlukan simulasi dan penyusunan strategi yang tepat. Elemen naratif kejayaan Selangor di bawah PH perlu diwar-warkan kepada pengundi untuk mengekalkan momentum serangan.
“Pada masa sama, menangani PAS secara efektif amat penting bagi PH untuk mengekalkan kemenangan di Selangor,” katanya.
PKR perlu cari kerusi lain yang lebih selamat
Pemimpin PKR seperti Nurul Izzah Anwar yang menang kerusi persekutuan Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan pemimpin lain yang menang di Selangor perlu mempertimbangkan kerusi lain yang lebih selamat kerana kemenangan mereka banyak dibantu akar umbi PAS.
Akar umbi ini sekarang musuh pada PRU akan datang, sama seperti BN yang kekal menjadi pesaing, kata Hisomuddin.
“Jika ada pihak yang masih sangsi, maka ini akan menyukarkan mesej kepada pengundi menjelang PRU14 nanti. Dilema ini perlu diatasi segera sebelum terlambat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
PAS mungkin kalah dalam pilihan raya
Walaupun ada cakap-cakap mengenai kerjasama antara Umno dan PAS, parti Islam itu akan sendirian pada PRU14, menyasarkan 45 daripada 56 kerusi di DUN Selangor. Dan peluangnya untuk menang kekal nipis kerana PH kini berdepan pertembungan tiga penjuru.
Ini akan memberikan kemenangan kepada Umno di negeri itu dan PAS yang kalah, menyebabkan Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian mempersoalkan bagaimana PAS dapat meyakinkan penyokong mereka dengan keputusan ini menjelang PRU14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Agak jelas dengan melakukan ini, mereka menyebabkan PKR tiada pilihan selain bekerjasama dengan Amanah,” katanya merujuk kepada parti Amanah yang merupakan parti serpihan PAS.
Secara mudahnya ialah keputusan PAS semalam menjadi tamparan kepada PH dan dorongan besar untk BN dalam berdepan pilihan raya selepas dua kali berturut-turut kalah teruk di peti undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA