Khamis, 11 Mei 2017

Hubungan PAS-PKR tamat serta merta, kata Majlis Syura

PKR dilihat bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan, menentang RUU 355 dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.
zawawi-pas-pkr
KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS membuat ketetapan “tahaluf siyasi” antara PAS-PKR terbatal serta merta, kata Setiausahanya Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh hari ini.
Zawawi berkata kerjasama mereka terbatal kerana begitu banyak pelanggaran syarat menurut pertimbangan “hukum syarak” dan “akhlak Islam”.
Majlis menyenaraikan 3 pelanggaran, dipercayai sebab utama, yang menyebabkan keputusan ini.
“Antara perlanggaran tersebut ialah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti RUU355.
“Melanggar adab-adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PAS, hari ini.
“PKR juga dilihat bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan. Malah, menentang PAS dalam pilihanraya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” kata Zawawi pada sidang media di ibu pejabat PAS petang tadi.
Ia sudah dijangka, kerana ia diangkat daripada usul yang diluluskan perwakilan PAS dengan sebulat suara di mesyuarat agung tahunan parti di Kedah baru-baru ini.
PKR membentuk gabungan Pakatan Harapan dengan parti serpihan PAS iaitu Amanah, DAP dan PPBM. PAS sebelum ini berkata mereka tidak mahu bekerjasama kesemua parti rakan PKR itu.
Dengan keputusan ini, pintu terbuka kepada pertembungan antara PAS dan PKR di semua kerusi PKR, terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang.
Mengenai kedudukan PAS di Selangor, Zawawi mengumumkan majlis mengambil keputusan untuk menyerahkan sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran di negeri itu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
“Ia juga dilakukan dengan merujuk kepada maslahat dan kepentingan Islam dan rakyat,” katanya.
PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sejak pilihan raya umum 2008 apabila mereka dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP berjaya menawan negeri itu daripada Barisan Nasional.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan PAS Selangor sebelum ini menolak semua cadangan merombak pentadbiran kerajaan negeri.
Sewaktu diserbu pemberita, Zawawi berkata, mesyuarat berkenaan berjalan dengan lancar dan PAS tidak melihat sebarang masalah dengan hasrat Azmin untuk bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membincangkan masalah antara kedua parti di Selangor.

“Tidak ada masalah. Kita juga masih belum beritahu PKR berkenaan perkara ini,” katanya.
Ketika ditanya, Zawawi tidak mahu memberitahu media mengenai respon daripada para exco PAS Selangor.
PAS mempunyai 3 exco di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ramai ahli majlis di peringkat kerajaan tempatan. Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor juga daripada PAS.
Selepas perpecahan dan letak jawatan atau pemecatan, kedudukan sekarang menyaksikan PKR mempunyai 12 kerusi, DAP 14 kerusi, PAS 13 kerusi, BN 12 kerusi, Amanah 2 kerusi dan Bebas 2 kerusi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA