Rabu, 17 Mei 2017

Gerak geri politik PAS

Apa yang pasti, keputusan memutuskan kerjasama dengan PKR tidak mampu menghalang pembentukan sistem dwiparti yang sedang bergerak di negara ini. Apa sedang berlaku bukan sangat melibatkan cita-cita satu-satu parti atau individu, tetapi merupakan proses sejarah yang sedang membentuk apa yang disebut sebagai “grand coalition”.
Walaupun PAS cuba menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan yang terbaru dengan Parti Cinta Malaysia (PCM), namun bentuk tahaluf siyasi baharu itu tidak lebih ibarat sebuah pertunjukan pentas bagi memaparkan kononnya PAS boleh membentuk blok sendiri tanpa PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.
Sama ada Parti Ikatan yang dipimpin Kadir Sheikh Fazdil mahupun PCM, keduanya adalah parti nyamuk yang tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Keduanya tidak mempunyai walau seorang wakil rakyat di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Bahkan berita tentang kedua parti itu juga sukar diperoleh dalam mana-mana media, termasuklah di Internet.
Barang diingat, tanpa Dr Mahathir Mohamad sekali pun, kesedaran dan proses untuk mewujudkan sistem dwiparti sudah berjalan secara natural khususnya selepas PRU 2004.
Usaha tersebut telah dicetuskan dengan inisiatif beberapa pihak, termasuklah oleh badan-badan bukan kerajaan, aktivis dan para cendekiawan prodemokrasi beberapa tahun sebelum itu lagi. Ia juga mula digerakkan dengan serius apakala Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara pada September tahun yang sama.
PKR yang lebih muda dari PAS dan DAP, misalnya cukup sedar bahawa tanpa pembangkang yang benar-benar bersatu, cita-cita menjejakkan kaki ke Putrajaya adalah mustahil. Tokoh seperti Anwar, dan kini Dr Mahathir hanya ibarat ‘takdir’ yang mempercepatkan proses membentuk sistem dwiparti itu.
Apa yang disebut sebagai “sistem dwiparti” bukanlah bermakna hanya akan ada dua buah parti sahaja di negara ini. Sistem dwi parti bermaksud pengwujudan dua blok politik yang jelas. Satu gabungan bersama kerajaan, dan satu blok lagi bersama pembangkang. Dua blok ini jugalah yang menjadi asas belahan dalam sistem parlimen dan DUN di negara ini. Di sana, tak ada tempat untuk pihak ketiga atau yang kononnya hendak berkecuali.
Di UK, blok-blok parti dikenali dengan panggilan “Konservatif” dan “Buruh”. Di bawah dua gabungan tersebut barulah wujud sejumlah parti-parti lain. Hanya ketika tercetus Perang Dunia Pertama, semua parti-parti di UK membentuk kerajaan bersama yang dikenali sebagai “Kerajaan Kebangsaan”.
Keperluan semasa waktu itu adalah kepentingan untuk menyelamatkan UK daripada kalah dalam perang. Apabila perang tamat, keadaan asal di mana dua blok “Konservatif” dan “Buruh” pun wujud kembali.
Tahaluf 120 tahun Konservatif-Liberal
Tahaluf siyasi paling lama adalah antara Parti Konservatif dengan Parti Liberal, yakni selama 120 tahun. Ia lebih lama daripada semua bentuk kerjasama dalam BN yang kini berusia 60 tahun.
Pada 1977, Parti Liberal memecahkan tradisi apabila menghulurkan tangan bekerjasama dengan Parti Buruh untuk membentuk kerajaan. Tiga tahun sebelumnya, Parti Buruh berjaya menewaskan Parti Konservatif tetapi dengan majoriti tipis.
Oleh itu, bagi menyelamatkan diri, Parti Buruh memerlukan Parti Liberal terutama dalam perkara meluluskan urusan di parlimen seperti belanjawan dan rang undang-undang tertentu. Walaupun diputuskan hubungan oleh Parti Liberal yang menyertai Parti Buruh, Parti Konservatif yang dipimpin Margaret Thatcher kembali menang besar dalam pilihan raya 1979.
Keputusan berkenaan membuatkan pengaruh Parti Liberal menjadi mengecil. Walaupun dengan dasar perjuangan yang hebat, Parti Liberal dilihat sebagai kawan yang sangat tak boleh dipercayai lagi. Meninggalkan parti bagi seseorang ahli politik pun sudah dianggap keji, apatah lagi untuk sebuah parti secara keseluruhannya memutuskan tahaluf siyasi dengan satu parti lain, atau, meninggalkan seluruhnya sebuah gabungan besar.


Pada 1997, Parti Buruh yang dipimpin oleh Tony Blair sekali lagi cuba mendapatkan bantuan Parti Liberal. Blair bimbang partinya tidak mendapat majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya. Lebih-lebih lagi, Blair ketika itu baru tiga tahun memimpin Parti Buruh yang sejak 18 tahun atau empat kali pilihan raya terus kecundang.
Rundingan Blair dan pimpinan utama Parti Liberal, Paddy Ashdown sudah wujud agak lama. Ketika keputusan diumumkan, ternyata Parti Buruh mendapat sokongan besar rakyat. Parti Liberal rupanya yang kalah teruk. Keputusan berkenaan dengan sendiri menjadikan Parti Liberal yang pernah meninggalkan sekutunya tidak lagi diyakini atau mendapat sokongan. Begitulah kuatnya moral rakyat England.
Apakah gerak geri pemimpin PAS akhir-akhir ini juga sedang menjebakkan PAS untuk menerima nasib seperti Parti Liberal di UK?
Sebagai parti yang tiada lagi hubungan dengan mana-mana parti di dalam gabungan pembangkang, kemungkinan nasib PAS menjadi seperti Parti Liberal adalah sangat besar. Hujahnya ialah rakyat dan parti-parti politik semakin sedar bahawa takkan ada sebuah parti pun yang boleh menubuhkan kerajaan tanpa gabungan yang signifikan dan tanpa wujudnya sistem dwiparti.
Di tengah-tengah kesedaran yang sudah berakar inilah, PAS mengambil langkah bertentangan. Seakan menembak kaki sendiri, sedangkan sebelumnya PAS mempunyai peranan yang sangat berkesan.
PAS juga mempunyai kekuatan yang sama tara sama ada dengan PKR atau DAP. Bahkan PAS jauh meninggalkan waima AMANAH BERSATU yang baru ditubuhkan itu. Tanpa memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR sekalipun, PAS sebenarnya boleh berdepan dengan semua parti dalam pakatan pembangkang secara berdiri sama tinggi.

Yang makin tenggelam
Menjadikan AMANAH dan BERSATU—bahkan Dr Mahathir—sebagai alasan memutuskan hubungan politik dengan parti dalam gabungan pembangkang adalah tak munasabah. Keputusan itu ibarat seseorang yang mempunyai saham besar dalam sebuah syarikat, tetapi memilih untuk keluar daripada syarikat.
Alasan kononnya syarikat tidak memenuhi perniagaan yang patuh syariah juga tidak masuk akal, sedangkan dia mempunyai kuasa untuk menentukan apa sahaja bentuk perniagaan yang wajar atau tidak. Lebih mendukacitakan apabila dia sebenarnya juga tahu, syarikat berkenaan telah lebih menjalankan perniagaan secara Islamik berbanding syarikat lain.
Selain pelbagai alasan yang selalu disalut dengan hujah agama, sesuatu yang dapat dikesan daripada keputusan-keputusan PAS adalah wujudnya pertimbangan yang bersifat sangat peribadi menyentuh pemimpin tertingginya. Pemimpin tertinggi PAS dilihat hilang yakin diri sehingga merasakan sesiapa pun yang menang di Putrajaya, mereka takkan menjadi “CEO” atau “COO” kerajaan yang baru.
Perasaan sedemikian boleh dikesan apabila nama presiden PAS sendiri misalnya semakin tenggelam dan kurang disebutkan waima sebagai calon TPM. Selepas Anwar kembali dipenjara, papan baru politik tanah air terhidang dengan nama-nama lain seperti Dr Wan Azizah Ismail, Muhyiddin Yassin, Azmin Ali dan Mukhriz Mahathir sama ada untuk menjadi PM mahupun TPM.
Keadaan ini berbeza sekali dengan suasana politik dekad 1980-an di mana pemimpin tertinggi PAS bukan sahaja menjadi ketua pembangkang, namun dicanang di merata kampung bahawa presiden merekalah calon terbaik untuk menggantikan PM dari Umno.
Begitu ketika nama presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46), Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan sebagai calon PM gabungan parti pembangkang pada awal 1990-an, PAS juga tak semena-mena ‘buat perangai’ dan meninggalkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Dalam kata lain, PAS rela Umno-BN kekal memerintah sekiranya calon PM atau sekurang-kuranya TPM bukan dari parti itu.
Rekod menunjukkan tindakan meninggalkan APU kembali memberi kemenangan selesa kepada Umno-BN dalam PRU 1995. Keadaan sedemikianlah yang sangat dinantikan oleh PAS untuk terus berada di tengah-tengah pentas politik orang Melayu.
Sekecil mana pun ukuran PAS berbanding Umno, menjadi parti yang mendapat perhatian orang Melayu adalah sangat mustahak bagi PAS. Di situlah letak duduk jantung dan nyawanya. Maka tidak hairanlah di ketika tertentu, PAS akan sanggup bermain dengan apa sahaja sentimen termasuklah api perkauman dan agama dalam usaha memancing perhatian orang Melayu.
Namun, saya tak fikir strategi sama boleh diputar berulang kali. Sejak tercetusnya perjuangan Reformasi 1998, semakin ramai pimpinan Melayu yang sedar bahawa menubuhkan parti secara sendiri-sendiri tidak akan ke mana tanpa mewujudkan pakatan besar pembangkang di dalam sistem dwiparti.
Parti mana pun yang memilih untuk berada di luar sistem ini, mereka akan hilang rentak permainan dan menjadi canggung tak tentu tari.

HASMI HASHIM

2 ulasan:

  1. Gelak dan geli politik PASPISPUS......hihihihi

    BalasPadam
  2. Gamaknya parti perjuangan untuk pemerintahan ISLAM memang majoriti tidak menyukainya.
    Siapa pun yg memerintah jika tidak menggunakan undang2 ISLAM patut digelar kafir.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA