Selasa, 30 Mei 2017

Exco Agama kecam tindakan demonstrasi Jaringan Muslimin Pulau Pinang

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim mengecam tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) yang bertindak memburuk-burukkan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika demonstrasi selepas solat Jumaat, 26 Mei lalu di hadapan Masjid Simpang Enam dekat sini.
Abdul Malik berkata, tindakan tersebut adalah ekoran dakwaan mereka kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang mencampuri urusan fatwa negeri.
“Sudah berkali-kali isu ini diperjelaskan termasuk Mufti (Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor) telah tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini.
“(Dan) saya amat kesal serta mengecam tindakan mereka yang melontarkan tohmahan termasuk menghalang Ketua Menteri untuk menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.
“Sedangkan seperti kelaziman sejak tahun 2008, Ketua Menteri, Y.A.B. (Tuan) Lim Guan Eng akan menghadiri majlis berbuka puasa, malah, menyampaikan beberapa bantuan untuk perkembangan hal ehwal Islam ketika menghadiri majlis bersama rakyat itu,” ujarnya kepada pemberita di Komtar tengah hari tadi.
Menurut Abdul Malik, tindakan Pengerusi JMPP dikenali Hafiz Nordin yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
“Melarang seseorang yang bukan Islam menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama orang Islam bukanlah ajaran Islam.
“(Dan) bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan teruskan usaha meningkatkan kefahaman agama di Pulau Pinang serta menolak sikap pelampau agama sebegitu,” jelasnya.
Sementara itu, Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut membidas tindakan kumpulan tersebut yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
“Kita (Pakatan Harapan) cuba mewujudkan hubungan yang baik dalam rangka keharmonian agama yang mencintakan kedamaian.
“Hal yang berlaku baru-baru ini jelas bercanggah. Ajaran Islam ini mudah, tetapi boleh sahaja dikelirukan oleh penganutnya yang obses terhadap sesuatu perkara.
“Saya percaya, di Pulau Pinang usaha ke arah keharmonian antara pelbagai kaum telah lama dilaksanakan dan akan diteruskan demi memberikan perspektif yang benar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah ,” ujarnya.

Saifuddin dalam pada itu turut memaklumkan majlis berbuka puasa melibatkan pemimpin Pakatan Harapan di peringkat nasional akan diadakan pada 11 Jun ini di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang turut serta dalam sidang media berkaitan turut memberi pandangan sama.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang telah menunjukkan amalan yang baik dengan berbuka puasa bersama-sama orang Islam di Pulau Pinang.
“Inilah amalan yang dibuat oleh pimpinan negara-negara hebat, sebagai contoh bekas Presiden Barrack Obama pernah mengadakan majlis rumah terbuka di Rumah Putih (Amerika Syarikat) dan mengajak orang bukan Islam turut serta.
“Begitu juga Perdana Menteri Singapura baru-baru ini berbuka puasa bersama-sama umat Islam di salah sebuah masjid di Singapura.
“Bahkan, diunjurkan supaya kita berbuka puasa beramai-ramai seperti yang pernah dilakukan di Masjid Negara (Kuala Lumpur),” katanya yang berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan amalan baik menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama orang Islam dan bukan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA