Isnin, 29 Mei 2017

Dendam Negara Bangsa

Oleh: Zulkifli Salleh

Dalam bukunya, The Revenge of Geography: What the Map Tells Us About Coming Conflicts and the Battle Against Fate, Robert D. Kaplan meneliti wawasan, penemuan, dan teori ahli geografi dan pemikir geopolitik agung yang terbaharu atau masa lalu, untuk memandang pangsi kritikal dalam sejarah semula dan kemudian memandang ke hadapan pada arena global yang berkembang.

Beliau menjejak sejarah tompok panas dunia dengan mengkaji cuaca, topografi dan kedekatan dengan bumi yang bertempur.

Geografi, hujah beliau, ialah latar belakang kepada sejarah manusia itu sendiri. Meskipun herotan kartografi, geografi mampu mendedahkan hasrat jangka panjang kerajaan. Hujah beliau, China akhirnya lebih penting daripada Brazil kerana lokasi geografi.

Meskipun Kaplan dalam bukunya itu langsung tidak menyebut negara bangsa, "geografi" yang dimaksudkan itu sebahagian negara bangsa, iaitu wilayah. Dalam "kata akhir", beliau mencatatkan pertikaian yang berterusan dan sengit antara China dengan negara lain di Asia di Laut China Selatan dan Laut China Timur. Pertikaian ini yang membentuk semula politik Asia bukan tentang idea atau ideologi, sebaliknya tentang kawalan terang-terangan ruang berharga pada peta.

Dalam On the Edge of the New Century yang mengandungi wawancaranya dengan Antonio Polito, Eric Hobsbawm membezakan dua maksud istilah negara bangsa. Dalam pengertian tradisional, istilah ini diertikan sebagai negara wilayah yang di situlah orang banyak, iaitu bangsa yang memegang kuasa kedaulatan hidup. Inilah makna negara bangsa yang muncul daripada Revolusi Perancis, dan sebahagiannya daripada Revolusi Amerika.

 Secara perbandingan, hujah Hobsbawm, terdapat satu lagi maksud yang diterima pakai untuk istilah tersebut yang paling terbaharu dan mengandungi idea bahawa setiap negara wilayah dimiliki oleh orang tertentu, dan ditakrifkan mengikut etnik, linguistik, dan ciri budaya tertentu, dan ciri inilah yang membentuk bangsa. Menurut idea ini, hanya satu bangsa hidup dalam negara bangsa, dan yang lain ialah minoriti yang hidup di tempat yang sama, tetapi bukan sebahagian daripada bangsa.

Sebagai akibat rempuhan globalisasi dan Iedakan teknologi maklumat, negara bangsa dijangkakan akan runtuh atau dalam kata Kenichi Ohmea, "dunia tanpa sempadan" dan "berakhirnya negara bangsa". Namun begitu, jangkaan atau ramalan itu tidak menjadi kenyataan, bahkan sejak akhir-akhirnya ini, di Eropah terutamanya, negara bangsa kembali, daripada "Brexit" di United Kingdom kepada kebangkitan gerakan pemisahan, antaranya di Scotland dan Catalonia. Keputusan "Brexit" itu menandakan dendam bangsa.

Sesetengah negara di Eropah, seperti Perancis, Belanda dan United Kingdom, menyaksikan kebangkitan puak populis yang mendapat suntikan semangat daripada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November 2016.

Eropah kini mendapati dirinya dalam nazak krisis politik terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Di seluruh benua itu, parti politik tradisional hilang daya tarikan mereka, kerana populis, iaitu gerakan Euroskeptical, berjaya menarik sokongan meluas. Hari demi hari, harapan untuk perpaduan Eropah kelihatan semakin pudar. Krisis euro mendedahkan talian rosak yang mendalam antara Jerman dengan negara selatan Eropah yang menanggung beban hutang, termasuk Greece dan Portugal.

Jerman dan Itali bertelingkah tentang isu, seperti kawalan sempadan dan kawal selia perbankan.
Pada 23 Jun 2016, United Kingdom menjadi negara pertama dalam sejarah mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, memberikan tamparan hebat kepada blok itu. Pada masa yang sama, tatkala politik dalamannya tidak terkawal, Eropah kini menghadapi bahaya luaran baharu. Di timur, Rusia yang berdendam menceroboh Ukraine dan mengilhakkan Crimea. Ke selatan Eropah, keruntuhan beberapa buah negara memaksa berjuta-juta migran ke arah utara dan mewujudkan tapak pembiakan untuk pengganas Islam.

Huru-hara tersebut, menurut pemerhatian Jakub Grygiel yang menulis dalam Foreign Affairs September/ Oktober 2016, menekankan harga pengabaian perjuangan geopolitik yang mengelilingi Eropah. Namun begitu, Kesatuan Eropah, dilumpuhkan oleh krisis euro dan perpecahan tentang cara untuk membahagi-bahagikan pelarian, tidak lagi kelihatan cukup kuat untuk menangani kacau-bilau domestiknya atau ancaman keselamatan di sempadannya. Para pemimpin negara di seluruh benua itu telah pun beralih kepada memandang ke dalam, merumuskan bahawa cara terbaik untuk melindungi negara mereka menerusi lebih banyak kedaulatan, bukannya kurang. Banyak pengundi kelihatan bersetuju.

Dalam "The Return of Europe's Nation-States:' Grygiel menegaskan bahawa kepulangan kepada nasionalisme agresif boleh berbahaya, bukan sahaja untuk benua itu, tetapi juga kepada dunia. Namun begitu, Eropah yang bersifat mendesak negara bangsa baharu lebih kepada Kesatuan Eropah yang hari ini tidak bercantum, tidak berkesan dan tidak popular. Wujud alasan baik untuk percaya bahawa negara Eropah akan melakukan kerja yang lebih baik untuk mengawal Rusia, mengurus krisis migran, dan melawan keganasan secara bersendirian daripada dilakukan di bawah naungan Kesatuan Eropah.

Hujah Grygiel, disedari atau tidak, ahli politik Eropah yang memperjuangkan sempadan terbuka gagal memberikan keutamaan kepada warganegara mereka sendiri berbanding dengan orang asing. Niat pemimpin ini mungkin mulia, tetapi jika negara gagal mengehadkan perlindungannya kepada kumpulan orang tertentu, iaitu warganya, maka kerajaan menanggung risiko kehilangan kesahan. Sememangnya, ukuran utama kejayaan negara ialah baiknya kerajaan dapat melindungi rakyat dan sempadannya daripada ancaman luaran, yang mungkin jiran mereka yang berseteru, keganasan, atau migrasi massa.


Dari segi ini, Kesatuan Eropah dan pendukungnya gagal. Para pengundi sedar. Rakyat British memberikan celaan yang kuat terhadap blok ini pada Jun 2016 apabila mereka meninggalkan Kesatuan Eropah dengan 52 peratits berbanding dengan 48 peratus, tidak mempedulikan amaran daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank of England dan Perbendaharaan United Kingdom bahawa tindakan itu akan mencetuskan malapetaka ekonomi. Di Perancis, menurut kajian terbaharu oleh Pew, 61 peratus penduduk mempunyai pandangan yang tidak memihak kepada Kesatuan Eropah, manakala di Greece, 71 peratus penduduk berkongsi pandangan ini.

"Orang ramai jauh lebih bersedia untuk berjuang demi negara mereka - demi sejarah mereka, tanah air mereka, identiti agama bersama mereka berbanding dengan demi badan wilayah abstrak yang diwujudkan oleh perintah".

Tahun 2016 benar-benar menyaksikan kepulangan negara bangsa yang bukan sahaja di Eropah, tetapi juga di tempat lain, dan hal ini tidak memeranjatkan. Seperti yang diperhatikan oleh Helen Thompson, profesor ekonomi politik di University of Cambridge, banyak retorik politik digunakan ketika tempoh gelora politik ini yang boleh menjadikan tahun 2016 kelihatan sebagai tahun negara bangsa pulang semula.

Namun begitu, untuk semua nilai kejutan yang berkaitan dengan peristiwa politik tahun ini, kebangkitan semula negara bangsa yang jelas ini sepatutnya tidak memeranjatkan kita kerana di sebelah dalam permukaan, negara bangsa tidak pernah berlalu pergi.

Thompson yang menulis dalam blog Sheffield Political Economy Research Institute, "2016 and the Return of Nation-State", mengingatkan bahawa negara bangsa selalu kekal sebagai tapak muktamad agensi politik di Barat kerana negara bangsa merupakan tempat yang menyatukan kesemua autoriti undang-undang, kuasa paksaan dan kaedah politik untuk menentukan pihak yang memerintah aparatus politik.

Hujah beliau, yang beriaku daiam politik Barat pada tahun 2016 bukannya fungsi kegagalan alternatif kepada negara bangsa, tetapi ketidakmampuan setiap negara bangsa untuk mempertahankan kedudukan mereka dalam orde antarabangsa dan Eropah dalam cara yang negara bangsa dibiasakan.
Di Amerika Syarikat, Donald Trump yang dipilih sebagai presiden ialah hasil kegagalan yang membawa bencana sepanjang dekad lalu tentang dasar Amerika Syarikat di Timur Tengah dan kesusahan ekonomi untuk Amerika Syarikat yang dicipta oleh kebangkitan China.Trump boleh menegaskan dengan berjaya bahawa negara bangsa Amerika sepatutnya difokuskan semula terhadap memajukan kepentingan warganegara Amerika kerana untuk dekad lalu Kerajaan Amerika terbukti tidak mampu membentuk bahagian signifikan negara lain di dunia untuk keazamannya, dan kegagalan Amerika menggunakan kuasa di Timur Tengah yang secara langsung membawa pengukuhan kekuatan kumpulan yang merupakan musuhnya.

 Tambahan pula, peperangan yang gagal di Timur Tengah menyebabkan Amerika Syarikat menanggung berbilion-bilion dolar, sedangkan infrastruktur musnah kerana pengabaian. Amerika Syarikat kini kuasa yang sedang merosot.

Selain Britain yang sedang menuntut negara bangsa semula, negara bangsa Perancis juga mempunyai pengaruh politik yang hilang. Dalam Kesatuan Eropah. krisis zon euro mendedahkan kelemahan struktur ekonomi Perancis yang semakin meminggirkannya daripada teras zon euro di sekitar Jerman. Sebaliknya, pengaruh negara bangsa Jerman dalam orde Eropah berkembang sepanjang dekad lalu. Krisis zon euro meletakkan Jerman sebagai negara Kesatuan Eropah yang muktamad kerana dasar remedi yang digunakan memerlukan wang Jerman dan persetujuannya menerusi Mahkamah Perlembagaan Jerman.

Sementara itu, Rich Lowry, dalam “Revenge of the Nation-State" yang muncul melalui laman web Politico, menegaskan minggu pertama pentadbiran Trump mewajarkan negara bangsa Amerika. Tema yang bergema sepanjang ucapan pelantikan Presiden Trump mengutarakan kesahan negara bangsa sebagai komuniti, sumber perpaduan, dan cara terbaik untuk memajukan kepentingan
warganegaranya. Ucapan Trump kurang puitis, tetapi dari satu segi, lebih berasas daripada ucapan George W. Bush pada tahun 2005 atau Barack Obama pada tahun 2009. Dalam laluan dasar luar, Trump berkata, “Kita akan mencari persahabatan dan muhibah dengan negara di dunia, kita berbuat demikian dengan kefahaman bahawa sememangnya hak semua negara untuk mengutamakan kepentingan mereka sendiri."

Secara umum, irnigresen merupakan fokus panting bagi nasionalisme Trump kerana hal ini melibatkan persoalan sama ada rakyat Amerika mempunyai autoriti berdaulat untuk memutuskan siapa yang akan tinggal di sini ataupun tidak; sama ada kepentingan rakyat Amerika ataupun pekerja asing sepatutnya paling utama; sama ada mengasimilasikan kaum imigran yang telah pun ada dalam budaya bersama sebelum ini lebih dialu-alukan ataupun tidak.

Menurut Lowry, fenomena Trump ialah pengunduran terhadap apa-apa yang disebut oleh ahli sains politik, Samuel Huntington, sebagal agenda deconstructionist dalam bukunya yang lazim berpandangan jauh tahun 2004, Who Are We?: The Challenges to Americas National Identity.

Pendukung deconstruction, menurut Huntington, cuba melemahkan jati diri nasional Amerika menerusi imigresen massa dan permusuhan dengan asimilasi dan penentangan terhadap ajaran sejarah Amerika Syarikat perspektif tradisional, iaitu patriotik, antaranya.

Huntington, dalam buku yang ulasannya diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, mengemukakan analisis yang mendalam dan cukup menarik tentang nasionalisme, jati diri dan budaya di Amerika Syarikat. Dalam buku ini, Huntington, secara kritis, mengesan dan mengupas masalah terhakisnya nasionalisme serta jati diri nasional, dan tidak kurang penting ialah pertarungan budaya yang semakin meruncing di Amerika Syarikat. Beliau menyalahkan fahaman pelbagai budaya yang menyebabkan kemerosotan jati diri nasional, seperti yang berlaku dalam bidang pendidikan. Tema kebangsaan dan patriotik merosot dalam bahan bacaan sekolah pada pertengahan dan akhir abad ke-20; 17 daripada 22 buah buku teks tidak mengandungi sebarang cerita tentang tema patriotik. Fahaman pelbagai budaya mencapai kemenangan di sekolah awam di Amerika Syarikat dan melenyapkan budaya Amerika Syarikat, iaitu Inggeris-Protestan, secara keseluruhannya.

Lowry juga mengisytiharkan bahawa negara bangsa kembali semula, meskipun semua ramalan menyatakan bahawa negara bangsa berkubur dan semua kuasa yang sepatutnya menguburkannya. Negara bangsa tidak lagi dalam gerhana berbanding dengan agama, yang kita juga diberitahu akan berlalu pergi kerana kemanusiaan mendakap masa hadapan yang lebih sekular dan kosmopolitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA