Sabtu, 13 Mei 2017

DAP setuju dengan Azmin, Pas perlu letak jawatan

GEORGETOWN - DAP bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang meminta tiga Exco Kerajaan Selangor dari Pas meletak jawatan selepas parti itu memutuskan hubungan politik tahaluf siyaasi dengan PKR telah terbatal.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Pas tidak boleh meletakkan wakilnya dalam barisan Exco Kerajaan Selangor selepas 'bercerai' dengan PKR kerana tindakan itu tidak betul.
Lim Guan Eng "Tindakan Pas ini tidak betul. Sudah cerai, cerai lah. Buat apa mahu duduk sama lagi? Saya sokong tindakan Azmin, mereka perlu letak jawatan," katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri merasmikan Program Pengasingan Sisa di Punca di Kasun Air Putih di sini.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menempelak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyifatkan perjuangan pemimpin itu sebagai sesat dan Pas adalah parti yang keliru.
"Semua orang keliru dengan kedudukan Pas malah pemimpinnya sendiri pun keliru. Dan yang paling teruk, pemimpin yang keliru tidak sedar dia sedang keliru.
"Mereka tidak boleh beza mana satu kawan mana satu lawan. Ini lah sebuah parti sesat yang keliru," katanya.
Ditanya sekali lagi berkenaan kedudukan wakil rakyat tunggal Pas dalam Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man, Guan Eng berkata, Adun Permatang Pasir itu masih kukuh menyokong pimpinannya sebagai Ketua Menteri.
"Dia (Mohd Salleh) pun kena boikot dengan Pas. Dia macam anak yatim yang ditindas dan tiada naungan. Tapi yang pasti, dia masih sokong kuat Kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan saya.
"Saya masih belum jumpa dia, tidak ada masa sesuai. Tapi dia pun keliru dengan kedudukan Pas pada waktu ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Azmin meminta tiga Exco Pas Kerajaan Selangor meletak jawatan selepas Majlis Syura Ulama Pas memutuskan hubungan politik tahaaluf siyaasi dengan PKR telah terbatal.
Azmin membuat permintaan itu selepas mengadakan mesyuarat bersama tiga Exco Pas, Datuk Iskandar Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi serta pesuruhjaya baharu parti itu, Sallehen Mukhyi.
Namun, Azmin memberi jaminan bahawa Pas masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat yang dimenangi dalam pilihanraya lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA