Ahad, 14 Mei 2017

C4 ajak rakyat dedah kekayaan luar biasa ahli politik, penjawat awam

NGO antirasuah melancarkan laman web 'Kleptocrazy Malaysia' untuk membolehkan orang ramai menghantar gambar penjawat awam dan ahli politik yang mempunyai kekayaan tidak dapat dijelaskan.
Cynthia-Gabriel-c4-corruptPETALING JAYA: Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) melancarkan “Kleptocrazy Malaysia” yang merupakan satu platform khas untuk orang ramai mendedahkan kekayaan luar biasa milik penjawat awam dan ahli-ahli politik negara ini.
Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata, laman web itu akan membolehkan orang ramai menghantar gambar penjawat awam serta keluarga mereka yang hidup di luar kemampuan, sekali gus membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menentukan sama ada individu terbabit perlu disiasat kerana mempunyai “kekayaan luar biasa”.
Ketika melancarkan laman web itu, beliau berkata, sejak Datuk Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM 8 bulan lalu, badan antirasuah itu mencatatkan 24 kes, termasuk beberapa kes berprofil tinggi seperti Jabatan Air Negeri Sabah dan skandal penukaran status tanah di Johor.
Malangnya, kata beliau, orang ramai tidak terbabit dalam perjuangan menentang rasuah itu.
“Kami hanya duduk dan lihat. Sebaliknya, kita perlu membantu mereka mengetengahkan kes,” katanya kepada hadirin yang termasuk aktivis terkemuka, seperti Marina Mahathir dan kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.
Ini tempatnya untuk “Kleptocrazy Malaysia” memainkan peranan penting, terutama dalam mengawasi pemimpin politik menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.
Gabriel bagaimanapun berkata, platform interaktif itu tidak menyasarkan individu perseorangan atau dendam peribadi dalam inisiatif itu.
Sebaliknya, ia akan menjadi satu tindakan keras ke atas penjawat awam dan ahli politik yang memiliki harta tidak dapat dijelaskan.
“Kami menyasarkan mereka yang hidup di luar kemampuan mereka. Mesej utama di sini ialah kita sedang memerhatikan anda.”
“Kleptocrazy Malaysia” dilancarkan hampir sebulan selepas C4 menuntut Akta SPRM dipinda bagi mengukuhkan kuasa suruhanjaya itu dalam menyiasat amalan rasuah, khasnya kekayaan luar biasa atau tidak dapat dijelaskan.
Permintaan itu timbul ekoran penahanan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly selepas didakwa memiliki “kekayaan luar biasa” bulan lalu.

Pada 21 April lalu, Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun, jika sabit kesalahan.
Pelancaran laman web itu juga diadakan lebih sebulan selepas Gabriel mencadangkan rakyat Malaysia mengikuti “jejak” kleptokrasi membabitkan mana-mana pemimpin politik sebagai cara untuk mengawasi mereka yang memegang kuasa dalam kerajaan.
Mereka yang berminat melaporkan kekayaan mencurigakan boleh berbuat demikian menerusi kleptocrazy.my.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan wartawan veteran, R Nadeswaran yang merupakan antara ahli panel dalam forum 2 jam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA