Jumaat, 26 Mei 2017

Bukan sahaja rakyat, MB & Exco pun terima balasan syurga neraka - Husam


Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa menyelar sikap pemimpin kerajaan negeri Kelantan diterajui Pas yang cenderung menggunakan syurga dan neraka sebagai modal politik.
Berceramah di Panchor, Pengkalan Chepa malam tadi, beliau mempersoal sama ada balasan syurga dan neraka hanya terpakai ke atas rakyat sebaliknya golongan pemimpin Pas mendapat ganjaran syurga semata-mata.
Husam Musa"Lepas demo (pemimpin Pas) boleh empat tahun (mentadbir kerajaan negeri), mana syurga, neraka? Atas rakyat saja syurga neraka? Exco tak kena syurga neraka? Menteri Besar tak payah syurga neraka? Syurga saja? Mana boleh begitu.
"Tidak boleh lepas pilihan raya, mu (rakyat) kena sokong aku (Pas) sebab bawa perjuangan Islam, kalau tak sokong masuk neraka, kalau sokong aku, masuk syurga.
"Kalau balak jual murah patut jual mahal - masuk neraka. Kalau kita buat projek, tindas rakyat, rakyat mengadu hal kita tak dengar - masuk neraka," bidasnya di Gertak Poknik Loh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu turut mempertikai sejauhmana usaha Pas di Kelantan "memprogramkan kuasa" sejak empat tahun lalu iaitu selepas memperoleh sekali lagi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
"Lepas Menteri Besar menang, exco dilantik, Timbalan Menteri Besar dilantik, tok-tok wakil mengambil tempat dalam dewan, apa program kerajaan (negeri)?
"Masa empat tahun berlalu. Apa kerajaan buat? Bila sudah menang, apa program keIslaman kalau sungguh Pas perjuangkan Islam?" soalnya dalam ceramah yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Husam yang juga Penasihat Amanah Kelantan selanjutnya menyenaraikan tindakan sebagai pemerintah yang sebenarnya berlandaskan Islam.
"Islam ini luas. Cuci sampah, bersih dan indahkan, majukan negeri itu Islam. Tolong budak-budak boleh kerja - Islam. Bagi bantuan pada budak yang mahu berniaga - Islam.
"Tolong orang susah tengah harga getah murah ni - Islam. Cakap betul - Islam. Buat rumah untuk rakyat - Islam. Jadi, janganlah kita tiba pilihan raya kalau tidak sokong parti Islam (Pas), masuk neraka. Kalau sokong masuk syurga," tegasnya lagi.
Sehubungan itu, kata Husam dalam ceramah bertemakan 'Pemimpin Kaya Rakyat Tergadai', rakyat pada masa ini mempunyai pilihan untuk mengundi selain Pas dan tentunya Umno-BN.
"Sekarang ini ada pilihan. Umno-BN mengenakan pelbagai kesusahan kepada rakyat, bawa lari wang rakyat, semua orang tahu.

"Mahathir sendiri hulubalangnya dibedal, dirotan. Bermakna kita tak boleh sokong Umno-BN. Sejak awal kita tidak sokong. Sekarang ini, Mahathir pun kata Umno bawa lari pitih (wang). Cukup saksi, cukup bukti.
"Dulu, kalau tidak mahu Umno, terpaksa pilih Pas kerana marah pada Umno lebih tinggi daripada marah pada Pas.
"Walaupun Pas lemah, tidak buat apa misalnya terpaksa pilih Pas. Hari ini tidak begitu dah. Kalau kita marah pada Umno, Pas pun kita tidak berkenan, boleh pilih Amanah dan saing-saingnya (kawan-kawannya). Tiada masalah," tambah Husam lagi.
Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan menyaksikan Pas menguasai 31 kerusi dan Umno-BN (12) manakala Amanah dan PKR masing-masing satu kerusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA