Isnin, 29 Mei 2017

Bertugas 30 Jam: Hilang nyawa doktor kurang tidur, rehat

AKIBAT terlalu penat menghabiskan waktu bekerja selama 33 jam, seorang doktor kehilangan nyawa dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ke Kuala Terengganu untuk berjumpa tiga cahaya mata dan suaminya.
Mangsa yang dikenali sebagai Dr Nurul Huda Ahmad dikatakan baru selesai on call pada jam 5 petang  9 Mei baru-baru ini, dan dia dikatakan bertugas selama 33 jam bermula 8 Mei.
Dr Nurul Huda yang berkhidmat di HUSM tinggal di Kota Bharu pada hari bekerja  manakala suami dan anak-anaknya menetap di Kuala Terengganu. Jadi untuk memanfaatkan cutinya beliau memandu pulang kampung namun, nasib tidak menyebelahinya.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pegawai perubatan dan badan bukan kerajaan (NGO) menegaskan, kemalangan maut yang membabitkan doktor yang bertugas dalam tempoh waktu yang panjang bukanlah sesuatu yang jarang berlaku.
Kemalangan ini antara siri kemalangan maut yang melibatkan pegawai perubatan yang memandu pulang sejurus tamatnya on call selama 33 jam.
“Sebelum ini kami telah kehilangan rakan sekerja, Dr Afifah Mohd Gazi, jadi sudah tiba masanya tindakan serius di ambil bagi mengelakkan kehilangan nyawa lain menjadi taruhan.
“Berhubung kemalangan kenderaan bermotor, kita menyedari bahawa banyak faktor penyumbang. Antaranya isu kenderaan, keadaan jalan yang teruk dan gangguan lain. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa keletihan atau kurang tidur juga adalah salah satu faktor yang dikenal pasti dan boleh dicegah,” kata kenyataan itu.
Susulan itu pegawai perubatan dan NGO sepakat menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkepentingan agar meneliti dan mengubah polisi waktu bekerja doktor agar dapat mengurangkan kadar kemalangan kenderaan di kalangan pegawai perubatan.
Terdapat lima senarai tindakan yang dikemukakan kepada KKM antaranya ialah menubuhkan satu pasukan petugas khas daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, universiti dan NGO perubatan untuk menyiasat kejadian kemalangan kenderaan bermoto (MVA) di kalangan pekerja perubatan dan kaitan dengan waktu bekerja mereka serta menubuhkan undang-undang 'waktu bekerja selamat' atau akta bagi melindungi pekerja perubatan termasuk orang awam.
“Selain itu memupuk kesedaran dalam bentuk kempen dan penglibatan aktif dengan pekerja perubatan dan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku keletihan dan kurang tidur, menyediakan kemudahan pengangkutan alternatif atau perkhidmatan ulang-alik dari hospital ke lokasi kediaman tertentu.
“Perkara utama ialah menyediakan 'post-call off' atau hari-off wajib untuk pekerja perubatan syif malam atau doktor on-call,” katanya.

Pada tahun 2015, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) menerbitkan kajian di kalangan pegawai kesihatan profesional mengenai post-call MVAS.
Kaji selidik dijalankan terhadap 440 responden selama 18 jam mendedahkan bahawa lebih separuh daripada kemalangan (54.8 peratus) berlaku selepas bekerja selama 25 hingga 36 jam. Di samping itu, 64.8 peratus daripada responden mengakui mengalami trauma psikologi berikutan kemalangan itu.
“Selepas bertugas wajib on call selama 24 jam. Kebanyakan pegawai perubatan perlu melanjutkan khidmat mereka antara empat hingga 10 jam. Tekanan kerja digabungkan dengan kekurangan tidur mengundang kepada keletihan.
“Faktor kekurangan tidur dikenal pasti sebagai faktor utama kepada MVA setanding dengan keadaan mabuk yang disebabkan oleh alkohol,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA