Sabtu, 27 Mei 2017

Bagi meredakan keadaan, Putrajaya nafi lantik pelobi Washington

PEJABAT perdana menteri kini sedang berada dalam situasi meredakan keadaan sepenuhnya, dengan pantas menafikan melantik seorang pelobi Washington yang pernah menjadi sebahagian daripada kempen pilihanraya presiden Trump di Amerika Syarikat tahun lepas.
Terlalu tinggi risiko untuk Malaysia ketika Putrajaya cuba mengambil pendekatan sederhana dan tidak mahu menjadi tumpuan dalam usaha membina hubungan dengan Presiden Donald Trump. Pada waktu yang sama, Malaysia berharap hubungan yang makin baik akan membolehkan keboborokan yang menyelubungi saman Jabatan Kehakiman (DoJ) dibersihkan.
Tetapi kini kebobrokan itu bertambah parah. Dilaporkan yang seorang ahli perniagaan Singapura dan salah seorang penasihat media kepada Perdana Menteri Najib Razak muncul dengan rancangan untuk melantik seorang pelobi bagi menjernihkan hubungan AS-Malaysia.
The Malaysian Insight difahamkan yang upah kepada pelobi Healy Baumgardner-Nardone dengan 45 Group dibayar ahli perniagaan Singapura yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarga PM.
Setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Najib Razak, Tengku Sariffuddin mengeluarkan kenyataan media petang ini, menafikan spekulasi yang kerajaan melantik pelobi tersebut.
“Bertentangan dengan laporan terbaru media dan penyata pendaftaran, Jabatan Perdana Menteri mahupun Kerajaan Malaysia tidak mengarahkan, melantik atau berhubungan dalam sebarang bentuk dengan Godfrey Group Ltd, 45 Group atau Healy Baumgardner-Nardone,” kata Tengku Sariffuddin.
The Daily Beast hari ini dipetik melaporkan pemfailan yang dilakukan Bahagian Keselamatan Negara DoJ minggu lepas yang mendaftarkan 45 Group sebagai agen “Republik Malaysia” melalui Godfrey Group Ltd.
Alamat yang disenaraikan dalam pemfailan itu adalah alamat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya dan Godfrey Group di Johor Baru. Pemfailan itu merekodkan yang 45 Group dibayar AS$250,000 pada 9 Mei bagi tugas “perkhidmatan hubungan kerajaan dan perhubungan awam”.

Rekod juga mendedahkan yang “45 Group akan membantu Godfrey Group Ltd dalam perkhidmatan hubungan kerajaan dan perhubungan awam dalam menyokong Kerajaan Malaysia dan memperkukuhkan hubungan AS-Malaysia”.

45 Group ditubuhkan Baumgardner-Nardone, yang merupakan pembantu media Trump ketika kempen pilihanraya presiden lepas. Dia meletakkan jawatan September tahun lepas selepas wujudnya perbezaan pendapat dengan kepimpinan kempen, tetapi masih mengekalkan hubungan rapat dengan kenalan rapat presiden Amerika Syarikat itu. lapor The Daily Beast.

Sumber di Malaysia yang arif tentang kerja pelobi di Amerika memberitahu yang kerajaan biasanya melantik pelobi dan bukannya syarikat swasta.
“Aneh sekali bila syarikat melantik pelobi dan bukannnya Kerajaan Malaysia. Syarikat itu baru sahaja mendedahkan dirinya untuk siasatan,” satu sumber berkata.
“Juga mengapa ada orang yang hendak lantik mereka yang dah keluar daripada kempen Trump? Baumgardner-Nardone bukannya sebahagian daripada kenalan rapat kan?” tambahnya.
Pemfailan DoJ tidak memberikan perincian tentang apakah isu yang ditangani 45 Group, tetapi Daily Beast mengatakan Malaysia sedang berusaha menafikan dakwaan Trump yang Malaysia terlibat dalam amalan perdagangan tidak adil. Pada Mac lepas, Malaysia adalah salah satu negara dalam senarai “penipu perdagangan” yang Trump arahkan Jabatan Perdagangan Negara tangani.

The Daily Beast juga melaporkan tentang Perdana Menteri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal korupsi melibatkan 1Malaysia Development Bhd, dan anak lelaki tirinya ialah salah seorang defendan dalam saman DoJ untuk mendapatkan kembali aset yang didakwa dirompak daripada 1MDB.
Najib sebelum ini cuba menggambarkan hubungan baiknya dengan Trump selepas kempen presiden AS pada 8 Nov, dengan menulis catatan di Facebook berbunyi “Bagus sekali dapat berhubung kembali dengan Presiden Trump selepas kejayaan kempen presidennya yang cemerlang.”
Najib berkata yang dia pertama kali berjumpa Trump beberapa tahun lepas ketika perdana menteri itu berada di New York bagi menghadiri Sidang Kemuncak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Mereka berdua bermain golf, dan Najib masih menyimpan bola golf yang ditandatangani Trump tertulis “Untuk perdana menteri kegemaran. Kemenangan yang hebat!”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA