Sabtu, 13 Mei 2017

Azmin tidak pernah arah 3 exco PAS lepas jawatan, kata setiausaha politik

Setiausaha politik menteri besar Selangor berkata, akhbar terbabit 'spin' kerana sepanjang pengetahuannya, perkara itu tidak pernah berlaku.
Mat-Suhaimi-Shafie-azminPETALING JAYA: Laporan media kononnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta 3 Adun PAS di Selangor melepaskan jawatan sebagai exco kerajaan negeri tidak benar sama sekali, kata setiausaha politik menteri besar Selangor.
Mat Suhaimi Shafie berkata, perkata itu tidak pernah berlaku.
“(Laporan Azmin minta 3 exco PAS lepas jawatan) memang tak betul, itu ‘spin’. Sepanjang pengetahuan saya, ia tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
The Star Online hari ini melaporkan Azmin meminta 3 wakil rakyat PAS di negeri itu melepaskan jawatan exco kerajaan negeri, ekoran keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR, kelmarin.
Menurut laporan itu, Azmin membuat permintaan “mengejutkan” itu dalam mesyuarat 1 jam dengan Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Zaidy Abdul Talib dan Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu, Sallehen Mukhyi, semalam.
Laporan itu menyebut Azmin memberi jaminan PAS masih boleh menjadi sebahagian kerajaan negeri sejajar mandat kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, dengan mengekalkan jawatan sebagai ahli majlis dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, Azmin sudah membuat pendirian jelas semalam yang barisan exco kerajaan negeri sedia ada akan dikekalkan sehingga PRU14, sekali gus mengekalkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU13.
“Menteri besar telah memperjelaskan sepertimana yang dia (Azmin) sebut sewaktu di Rawang semalam (semua exco kerajaan negeri dikekalkan sehingga PRU14),” katanya sambil menambah, Azmin turut menjelaskan pendirian mengekalkan pentadbiran sedia ada kepada pimpinan PKR.
Semalam, Azmin ketika menghadiri Majlis Perasmian Masjid Perodua di Rawang dilaporkan memberi jaminan kepada Sultan Selangor yang barisan exco kerajaan negeri itu akan dikekalkan sehingga PRU14, sekalipun PAS sudah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Khamis lalu, badan tertinggi PAS – Majlis Syura Ulama membuat ketetapan untuk menamatkan kerjasama dengan PKR seperti yang diluluskan perwakilan pada Muktamar PAS ke-63, 30 April lalu di Kedah. Mereka menyenaraikan 3 pelanggaran dilakukan parti reformasi itu.
“Antara pelanggaran tersebut ialah tidak menyokong, malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti RUU 355,” kata Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh Zawawi, merujuk rang undang-undang persendirian dibawakan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“PKR juga dilihat bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan. Malah, menentang PAS dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.”

3 ulasan:

  1. PKR ni bercelaru betul!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jgn ckp gitu...pkr mana pernah khianat...ruu355 walaupun mula x setuju tapi cuba tgk kenyataan akhir bila dh terkonar baring

      Padam
  2. Cartel azmin ni tukar je....menjadikn ph di selangor kelam kabut.....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA