Rabu, 12 April 2017

Tinggalkan 'akhlak berpilih-pilih'


Mutakhir ini, semakin giat sesetengah ahli politik yang menggelar, menyamakan serta membinatangkan pihak lain yang tidak sealiran dengannya. Amalan ini jelas adalah satu perbuatan yang tidak tidak mencerminkan akhlak muslim yang sebenar.
Malah, tabiat akhlak terpilih juga perlu diketepikan yang mana hanya melenting apabila ada pihak yang kononnya menyindir tokoh pemimpin parti tertentu, sedangkan berdiam diri apabila pemimpinnya itu kerap melemparkan labelan yang tidak enak didengar.
Mohd Sany HamzanIslam sangat menitikberatkan tentang akhlak, bukan hanya dari sudut luaran tetapi yang lebih penting ialah aplikasi dalam bentuk tindakan terutama percakapan. Islam merupakan agama ramah-tamah, bukan marah-marah hingga mencemarkan identiti agama suci ini.
Islam adalah agama yang memberi rahmat untuk semua tanpa membezakan mana-mana pihak termasuklah musuh itu sendiri. Islam juga tidak "menghalalkan" tindakan yang tidak bertamadun atas nama perjuangan agama.
Islam juga melarang penganutnya untuk mencemuh, merendah-rendahkan, dan memberi gelaran kepada orang atau kumpulan lain.
Marilah kita sama-sama menghayati firmah Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." (Al Hujurat, 49:11)

Berakhlaklah kita kepada semua sepertimana didikan Al-Quran dan contoh yang ditunjukkan oleh _qudwatun hasanah_ Rasulullah SAW. Semoga setiap daripada kita bersama-sama bermuhasabah bagi meningkatkan kefahaman tuntutan agama demi menjalin hubungan ukhwah yang lebih erat walaupun berlatarbelakang agama, kaum dan ideologi yang berbeza.

Mohd Sany Hamzan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA