Selasa, 18 April 2017

TINDAKAN SAMAN KE ATAS RAJA PETRA KAMARUDDIN, NIK AMAR TERKELIRU SD DALAM KES FITNAH SODOMI TERHADAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

Saya telah mengarahkan peguam saya, Saudara Saiful Izham Ramli dari Tetuan Saiful Kasri & Co untuk mengeluarkan satu surat tuntutan (“letter of demand”) terhadap Raja Petra Kamaruddin, pengendali laman Malaysia Today yang telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap saya seperti berikut:

“...Rafizi should also come out and tell us about the millions that he, Saifuddin Nasution, Zaid Ibrahim, and many more in PKR received from John Soh Chee Wen. Soh, who is Tun Daim Zainuddin’s business partner, gave Zaid alone RM6 million. Rafizi and Saifuddin received about RM20 million. Anwar Ibrahim got much more than that, as did Dr Wan Azizah Wan Ismail and Nurul Izzah. In fact, Free Malaysia Today got RM12 million as well, just like The Malaysian Insider got RM13 million from Tong Kooi Ong — as Ho Kay Tat, the publisher of The Edge Media Group, revealed..

Tuduhan itu dibuat dalam satu penulisan beliau yang disiarkan pada 7 April 2017 di capaian http://www.malaysia-today.net/bahri-is-rafizis-source-about-1mdbs-money-allegedly-going-to-pas/ yang menuduh saya, (antara lainnya), menerima RM20 juta dari seorang yang bernama John Soh.

Fitnah ini diulang berkali-kali oleh pimpinan dan penyokong PAS sebagai jawapan kepada pendedahan saya mengenai aliran dana dari SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun Dato’ Seri Najib Tun Razak yang akhirnya sampai kepada Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa.

Arahan ini telah dikeluarkan sejak Jumaat lagi setelah saya mendapat kesahihan status Raja Petra Kamaruddin sebagai seorang yang muflis.

Berdasarkan carian dari Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, saya telah mengesahkan bahawa Raja Petra Kamaruddin adalah seorang yang muflis sejak tarikh 4 April 2001 lagi (rujuk carian Jabatan Insolvensi yang saya sertakan bersama).

Carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga menunjukkan satu-satunya syarikat yang beliau mempunyai saham juga telah dibubarkan (“dissolved”) sejak 20 Ogos 2001, iaitu sejurus selepas beliau sendiri diisytiharkan muflis (rujuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat Raja Petra Holdings Bhd yang disertakan).

Oleh yang demikian, saya sedia maklum bahawa saya mengambil tindakan saman ke atas seorang yang sudah pun muflis. Kalau pun saya menang, saya tidak akan mendapat apa-apa pampasan dari beliau, malah saya terpaksa membayar lagi yuran guaman dalam memfailkan saman tersebut.

Namun, saya merasakan ia telah menjadi keperluan kerana Raja Petra Kamaruddin merasakan dia dilindungi dari sebarang tindakan kerana berada di United Kingdom dan juga seorang yang muflis. Beliau tahu tindakan menyaman beliau adalah membazirkan wang kerana sebagai seorang yang muflis, beliau tiada harta untuk membayar pampasan. Segala wang dan perniagaan beliau di United Kingdom (melalui sebuah restoran yang diusahakan di Manchester) adalah menggunakan nama anak-anak dan isteri beliau (sila rujuk carian dari Companies House yang saya sertakan).

Tetapi saya bukan mahukan wang. Saya mahukan kebenaran.



Masyarakat tidak sepatutnya membenarkan seorang individu seperti Raja Petra Kamaruddin ini menaburkan fitnah sewenang-wenangnya demi sedikit sogokan dari individu tertentu. Setelah menjadi muflis dan disiasat pula kerana dituduh membuat satu Akuan Bersumpah yang tidak benar, beliau melarikan diri dari tindakan undang-undang ke United Kingdom sehingga kini dan terlepas dari proses undang-undang.

Malangnya fitnah beliau selalu juga digunakan oleh tokoh-tokoh masyarakat yang tidak menyelidik dahulu fakta sesuatu perkara.

Saya menegur Datuk Nik Amar Nik Abdullah, Naib Presiden PAS yang mencemar nama baik PAS apabila dilaporkan mengheret Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam pertikaian dana SRC Internasional Sdn Bhd yang masuk ke dalam akaun Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa.

Saya rujuk laporan berita Sinar Harian di capaian http://www.sinarharian.com.my/politik/kenapa-rafizi-tidak-saman-raja-petra-1.660550 yang memetik beliau berkata:

“...Mohd Amar juga membangkitkan persoalan, mengapa dalam isu ini, SD yang dilakukan Rafizi perlu diterima, walhal kes lain misalnya melibatkan SD Saiful Bukhari Azlan dan Datuk Abdul Murad Khalid (bekas Penolong Gabenor Bank Negara) tidak diterima.

"Dalam soal sumpah, Datuk Seri Anuar Ibrahim daripada awal tuduhan liwat sampai penjara tidak pernah bersumpah menafikan tuduhan tersebut.

"Jadi bagaimana itu? Kalau kita terima SD Rafizi, maka kita perlu terima juga SD Saiful dan Murad.

"Kita kena konsisten, kalau ada metologi, perlu gunakan metalogi yang sama. Jangan kita gunakan untuk diri sendiri. Tidak betul caranya," katanya...


Datuk Nik Amar terkeliru bahawa Saiful Bukhari memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan membuat laporan polis, bukannya dengan kaedah Akuan Berkanun kerana hukuman membuat akuan berkanun palsu adalah berat. Akuan Berkanun yang sering dirujuk di dalam fitnah sodomi oleh Saiful Bukhari adalah satu akuan berkanun oleh doktor Hospital Pusrawi bernama Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang mengesahkan bahawa tiada kecederaan di dalam dubur Saiful Bukhari yang menjadi bukti paling kukuh bahawa dia tidak diliwat seperti yang didakwa di dalam laporan polisnya.

Namun, Akuan Berkanun itu dan bukti-bukti perubatan yang menunjukkan tiada kecederaan di dalam dubur Saiful Bukhari langsung tidak diendahkan oleh penghakiman Mahkamah Persekutuan yang memutuskan keterangan Saiful Bukhari sudah memadai memandangkan hakim-hakim yakin dia tidak berbohong.

Pihak polis juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang menunjukkan Akuan Berkanun itu benar.

Setelah peguam saya mengeluarkan surat tuntutan dan selepas tarikh masa menjawab luput (seminggu selepas itu), saya akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Raja Petra Kamaruddin. Walaupun beliau seorang yang muflis, saya mahu melihat beliau dibawa balik ke Malaysia pada satu hari nanti untuk menjawab semua pertuduhan terhadap beliau termasuklah saman fitnah saya terhadap beliau.

Ini adalah kali pertama saya mengambil tindakan sama terhadap sesiapa pun kerana saya tahu siapa di belakang Raja Petra Kamaruddin. Saya berharap semua pimpinan politik, baik kerajaan atau pembangkang, berhati-hati dengan sebarang berita yang dikeluarkan oleh seorang penulis upahan seperti ini.

Link kepada dokumen-dokumen berkenaan: http://rafiziramli.com/2017/04/tindakan-saman-ke-atas-raja-petra-kamaruddin-nik-amar-terkeliru-sd-dalam-kes-fitnah-sodomi-terhadap-dato-seri-anwar-ibrahim/

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA