Jumaat, 14 April 2017

Sidang Parlimen Rakyat bahas RUU355 capai sasaran

KUALA LUMPUR, 14 APR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata perbahasan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dalam Sidang Parlimen Rakyat melalui media sosial 10 April lalu berjaya mencapai sasaran.
Perbahasan yang disiar langsung melalui laman Facebook Invoke, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan pimpinan Pakatan Harapan lain katanya berjaya mencatat jumlah tontonan sehingga 214 097, dengan hampir satu juta akaun FB mengikutinya, 2714 perkongsian dan 14,496 komen.
“Teknologi digital dan media sosial menjadikan rakyat Malaysia akan lebih inklusif dalam sesuatu perkara.
“Proses membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat boleh didemokrasikan melalui teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkara berkaitan, beliau menyatakan sokongannya terhadap cadangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pemerkasaan mahkamah syariah.
“Satu langkah lebih padu dan praktikal yakni dengan desakan penubuhan jawatankuasa pilihan Parlimen bagi mengkaji dan mencadangkan apa yang perlu dilakukan untuk memperkasa mahkamah syariah.
“Di mana, jawatankuasa berkenaan yang diletakkan bawah Parlimen pastinya akan turut dianggotai pakar dalam pelbagai bidang termasuklah perundangan Islam,” kata beliau.

Saifuddin, dalam masa yang sama turut menegaskan Pakatan Harapan akan terus memperjuangkan isu melibatkan ratusan ribu graduan masih menganggur.
“Ini termasuk isu-isu rakyat seperti kos pembiayaan anak-anak masuk universiti meningkat, kejatuhan nilai matawang ringgit, harga barang runcit mahal serta kos hidup yang dibebankan oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) harus diselesaikan melalui jalan politik dan pilihanraya.
“Disebabkan UMNO-BN juga, rasuah pemimpin macam tiada penghujung. Kesemua hal ini juga suatu tanggungjawab agama yang harus ditegakkan!” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA