Jumaat, 21 April 2017

Satu undi untuk BN, satu undi untuk tindakan tidak demokratik

GEORGE TOWN, 21 APR: UMNO-Barisan Nasional (BN) semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa sehingga sanggup mengutarakan cadangan dan melakukan tindakan yang membelakangi prinsip demokrasi negara.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, ia bermula dengan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.
Ia dilihat sebagai taktik UMNO-BN untuk merampas negeri itu tanpa melalui proses pilihan raya.
Sebulan selepas cadangan mengarut itu, kata Steven, kerajaan UMNO-BN semakin bertindak di luar batasan dengan mengambil langkah membatalkan kelulusan semua projek kerajaan tempatan di kawasan yang tidak dikuasai parti pemerintah itu.
“Dengan tindakan terbaru (Tan Sri) Noh Omar (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) itu, terbuktilah bahawa UMNO-BN di peringkat Persekutuan bersungguh-sungguh menggunakan cara tidak demokratik untuk merampas kuasa,” kata Steven dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, taktik yang digunakan Noh Omar dan gerombolannya itu bukanlah perkara baru.
Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan, katanya, telah lama menjadi mangsa kerajaan Persekutuan yang ditadbir UMNO-BN.
Meskipun Pulau Pinang secara konsistennya menyumbang 30 peratus imbangan perdagangan negara setiap tahun dari 2008 hingga 2015, katanya, kerajaan negeri hanya menerima 0.07 peratus daripada keseluruhan bajet tahunan Persekutuan.
Malah, katanya, mengikut statistik 2013, Pulau Pinang dan Selangor menjadi pembayar cukai per kapita tertinggi berbanding negeri-negeri lain di negara ini, namun peruntukan yang diterima kedua-dua negeri tersebut amat rendah.

“Pada tahun yang sama, Pulau Pinang hanya menerima 0.07 peratus dan Selangor meneri 0.31 peratus daripada bajet Persekutuan,” ujarnya.
Tindakan itu, menurut Steven yang juga Pengarah Penang Institute, tidak ubah seperti rampasan kuasa dengan taktik menghalang kerajaan negeri untuk memenuhi tanggungjawab demokratiknya terhadap rakyatnya.
“Jika begitu, saya mahu ulangi, pilihan raya akan datang adalah referendum penting sama ada rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia secara amnya bersetuju dengan tindakan rampasan kuasa dan pembulian terhadap kerajaan negeri.
“Satu undi untuk UMNO-BN adalah satu undi rampasan kuasa yang tidak demokratik sifatnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA