Khamis, 20 April 2017

Rafizi timbulkan lagi soalan kaitan Tabung Haji-SRC

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini sekali lagi menimbulkan soalan sama ada dana Lembaga Urusan Tabung Haji turut terlibat dalam skandal 1MDB, melalui pelaburan dalam firma yang dikaitkan dengan SRC International.
Syarikat berkenaan adalah Putrajaya Perdana Bhd yang dibeli Tabung Haji dengan kepentingan 30 peratus pada bulan November 2014.
Anak syarikat Putrajaya Perdana, Putra Perdana Development menerima RM140 juta daripada SRC International, mengikut carta yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang akhbar ketika beliau membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam kes SRC.

Menurut carta itu, pemindahan dilakukan secara kelompok pada bulan Julai dan Ogos 2014, tiga bulan sebelum Tabung Haji membeli 30 peratuskepentingan dalam Putrajaya Perdana.
“Semasa Tabung Haji membeli 30 peratus pegangan di dalam Putra Perdana pada harga RM193.5 juta, Tan Sri Ismee Ismail mesti menjawab sama ada beliau ada pengetahuan mengenai RM140 juta yang dipindahkan dari akaun SRC International Sdn Bhd,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Ismee Ismail adalah Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji dan pengarah 1MDB sehingga 2016, apabila semua ahli lembaga itu meletak jawatan serentak berikutan laporan penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berhubung penyelewengan dalam 1MDB. Ismee juga adalah pengarah SRC International.
Kaitan Tabung Haji pada mulanya dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mempersoalkan jika dana tabung haji telah digunakan untuk menyelamatkan syarikat Putrajaya Perdana yang dikaitkan dengan Jho Low.

Dalam kenyataannya, Rafizi juga menggesa Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendedahkan jika penilaian kewangan terperinci dilakukan apabila lembaga itu membeli kepentingan dalam Putrajaya Perdana.
“Soalan ini adalah sangat penting kerana jika satu ‘due diligence’ telah dibuat oleh Tabung Haji, ‘due diligence’ itu sudah tentu dapat mengesan satu aliran tunai sebanyak RM140 juta ke dalam Putra Perdana Development, iaitu anak syarikat milik penuh Putrajaya Perdana Bhd,” katanya.
Beliau juga menggesa Abdul Azeez untuk menjelaskan mengapa Tabung Haji memilih untuk melabur RM193.5 wang jemaah ke Putrajaya Perdana dan jika pelaburan itu diluluskan oleh panel pelaburannya.
“Apa keputusan lporan risiko pelaburan yang dibentangkan kepada panel pelaburan yang menilai risiko pelaburan ini? soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

</