Jumaat, 14 April 2017

PRU14: Pas Kepala Batas sedia tanding tiga penjuru

Himpunan
SUNGAI DUA - Pas Kawasan Kepala Batas sedia untuk bertanding tiga penjuru andai mana-mana parti daripada Pakatan Harapan meletakkan calon untuk bertanding.
Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali berkata, buat masa ini antara kawasan Kepala Batas yang dipertandingkan Pas adalah Kepala Batas dan di kawasan Penaga.
"InsyaALLAH, buat masa ini, di peringkat Pas Kawasan Kepala Batas kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya tiga penjuru di kawasan yang dipertandingkan Pas sebelum ini.
"Bagaimanapun, Pas Kawasan Kepala Batas akan mematuhi apa saja yang diputuskan dalam muktamar yang akan datang ini, dan pada saya bagi kawasan Kepala Batas dan Penaga, sekiranya ada parti lain daripada Pakatan Harapan bertanding, kita akan sedia untuk bertanding juga kerana itu sememangnya kerusi yang Pas pertandingkan sejak dahulu," katanya.

Katanya, jentera Pas Kawasan Kepala Batas berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa.
"Buat masa ini, daripada segi jentera, kita sememangnya berada dalam kebersiap siagaan yang tinggi.
"Dan jentera pilihanraya juga telah dilancarkan pada minggu lalu, dan Alhamdulillah, setakat ini sokongan padu diterima daripada semua ahli," katanya.
Menurutnya, bagi perancangan untuk PRU yang akan datang ini, Pas juga bakal meletakkan calon untuk bertanding di kawasan Pinang Tunggal dan Bertam.
"Dari kajian yang kita lakukan, kedua-dua kawasan ini majoritinya adalah terdiri daripada Melayu dan bagi Pas ini tidak jadi masalah untuk kita bertanding bagi kedua-dua kerusi ini," katanya.

Dalam masa yang sama, Pas Kepala Batas turut mengadakan himpunan bagi menyokong Rang Undang Undang 355 yang dibentangkan Presiden Pas di Parlimen baru-baru ini.
Himpunan turut sama diadakan untuk menzahirkan dukacita terhadap ahli-ahli parlimen DAP, Amanah dan PKR yang cuba mengganggu dan memperlekehkan pembentangan yg dibuat pada sidang parlimen minggu lepas.
Selain itu, himpunan aman ini juga ingin mengecam tindakan akhbar Nanyang Siang Pau yang menyiarkan karikatur yang bukan saja menghina Presiden Pas dan Speaker Dewan Rakyat, malah menghina RUU 355 itu sendiri.

1 ulasan:

  1. Fahamilah matlamat pas skrg. Jk dia tak menang dan BN menang, objektif pas tercapai jua. Dia cuma tak mau PH menang. Jd tak ada masalah bg pas bertanding 3 penjuru

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA