Isnin, 17 April 2017

PPBM tak terima dana kerana penderma bimbang LHDN

Dr Mahathir Mohamad mendakwa ia adalah taktik perdana menteri untuk menggunakan agensi kerajaan bagi menghalang parti pembangkang beroperasi seperti biasa.
mahathirPETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Najib Razak menggunakan agensi kerajaan untuk menghalang orang ramai menderma kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Beliau yang dipetik Sin Chew Daily berkata, PPBM gagal mendapat sebarang sumbangan kerana penderma bimbang akan disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Masalah yang kami hadapi ialah Najib mahu mencapai kemenangan, jadi untuk mengalahkan pembangkang, khasnya PPBM, kami tak terima sebarang sumbangan.
“Sesiapa pun yang hendak menderma kepada PPBM akan disiasat LHDN. Walaupun sudah bayar balik, mereka akan disiasat juga,” katanya ketika menghadiri Jelajah Semarak Kasih Felda Bersama Tun Dr Mahathir di Parlimen Sekijang, Segamat, Johor, pada Sabtu malam.
Turut hadir ialah Pengerusi Amanah Johor merangkap Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan serta ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang juga Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.
Pengerusi PPBM itu mendakwa ia adalah taktik perdana menteri untuk menggunakan agensi kerajaan bagi menghalang parti pembangkang beroperasi seperti biasa.
Walaupun PPBM tiada wang, beliau bagaimanapun percaya rakyat mampu menggulingkan Najib.
“Kita semua tahu nilai undi, tetapi jangan jual undi.”

Bekas perdana menteri itu berkata, jika Pakatan Harapan dipilih sebagai kerajaan persekutuan, negara termasuk ekonomi akan dipulihkan secepat mungkin, termasuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara beransur-ansur.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyeru ahli Umno keluar parti kerana ia bukan lagi parti diasaskan Tunku Abdul Rahman, sebaliknya ia adalah parti Najib.
“Saya berada dalam Umno lebih lama daripada anda, saya sudah keluar parti, kamu semua pun keluarlah.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA