Jumaat, 21 April 2017

Potong gaji Noh Omar batal projek kemudahan asas

Zuraida Kamaruddin berkata, Noh Omar tidak berhak membatalkan projek prasarana untuk semua rakyat Malaysia kerana gajinya juga datang daripada pembayar cukai tidak menyokong BN.
Zuraida-pan-nohjPKR menggesa kerajaan memotong gaji Tan Sri Noh Omar kerana membatalkan kelulusan projek kemudahan asas berskala kecil di peringkat majlis tempatan (BP1), di kawasan Parlimen pembangkang.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, gaji Noh juga datang daripada pembayar cukai tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dan beliau tiada hak membatalkan projek untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik mereka.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu sebagai penyalahgunaan kuasa dan kedudukan.
“Sebagai menteri untuk rakyat Malaysia, dia baru sahaja mengakui secara terbuka dia hanya seorang menteri untuk penyokong BN.
“Jika demikian, kami menuntut Tan Sri Noh Omar menerima pengurangan gaji sebanyak 52% kerana hanya 48% daripada rakyat Malaysia mengundi BN pada pilihan raya lalu,” kata ahli Parlimen Ampang itu menerusi kenyataan hari ini.
Projek prasarana BP1 merujuk projek infrastruktur berskala kecil seperti membina parit dan longkang, menaik taraf jalan serta memasang lampu jalan.
Hari ini, Oriental Daily memetik Noh ketika menghadiri program beliau menemui rakyat di Putrajaya berkata, pihaknya hanya boleh memberi keutamaan kepada kawasan Parlimen BN disebabkan peruntukan dan sumber terhad.
Katanya, sejak tahun lalu, sumber yang diperolehi kementeriannya amat terhad dan langsung tidak mampu diagihkan ke semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian akan mengagihkan sumber itu ke kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai BN terlebih dahulu, sebelum sampai giliran kawasan pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, semua projek yang diluluskan sebelum ini tidak akan terjejas dengan keputusan berkenaan.
Noh berkata, pihaknya akan mempertimbangkan permohonan pemimpin pembangkang dan masih ada projek diluluskan untuk kawasan pembangkang, seperti Ipoh Timur, Sepang dan Shah Alam.
Katanya, beliau sudah bersiap sedia dan mengalu-alukan parti pembangkang membawa isu itu ke mahkamah.

3 ulasan:

  1. Menteri standard Jamal Jamban. Dia antara menteri yg tersungkur dlm PRU14.

    BalasPadam
  2. Rakyat takkan tak faham bahawa dengan mengekalkan BN pada PRU14 bermakna akan menyebabkan negara menjadi bankrap. Sepatutnya pendapatan yang dikutip melalui gst dapat menampung keperluan rakyat tanpa mengira kawasan. Jika demikian BN telah merompak duit rakyat yang menyokong pembangkang melalui gst dan mengagihkannya kepada penyokong BN. Mana pergi komen tuang presideng? Bukankah ini merupakan perangai syaitan besar?

    BalasPadam
  3. Mulut Tuan Presiden dah kena zip... i help u, you help me...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA