Rabu, 19 April 2017

Politik, faktor bukan ekonomi terus jejaskan ringgit

BERSEDIA menerima hakikat kos perjalanan ke luar negara, pendidikan anak di Amerika Syarikat dan Australia serta kos sara hidup di sini kekal tinggi, amaran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), susulan ringgit akan kekal lemah untuk seketika.
Institut penyelidikan itu berkata pertelingkahan tanpa henti antara parti politik dan spekulasi pilihan raya umum akan diadakan tahun ini terus menekan kadar pertukaran ringgit kepada dolar AS dan mata wang serantau lain seperti baht Thai.
MIER berkata unsur itu mempengaruhi sentimen pelabur dan spekulator terhadap ringgit, sambil menambah kadar pertukaran yang rendah dijangka berlarutan.
Pengarah Eksekutif MIER Dr Zakariah Abdul Rashid berkata sentimen pelabur dan spekulator mata wang adalah antara faktor bukan ekonomi yang akan terus memberi kesan besar ke atas ringgit.
Pada masa lalu, ahli ekonomi lain menyatakan kadar susut pertukaran nilai ringgit kepada dolar AS secara langsung dan tidak langsung menyebabkan harga makanan naik kerana peningkatan kos mengimport bahan mentah.
Laporan sebelum ini mengaitkan kadar pertukaran ringgit yang menjunam disebabkan penurunan harga minyak mentah. Ringgit jatuh daripada paras tertinggi RM3.16 bagi setiap dolar AS pada Ogos 2014 kepada paras serendah RM4.40 pada November tahun lalu, menurut laporan suku pertama 2017 MIER.
"Terdapat susut nilai dan jurang besar antara mata wang lain berbanding ringgit. Ini disebabkan gabungan faktor, ekonomi dan bukan ekonomi. Kami tidak tahu mana lebih kuat tetapi kita boleh menekanya.
"Apabila ringgit bergerak daripada nilai mata wang lain di rantau ini, kita boleh mengatakan ia disebabkan faktor bukan ekonomi," kata Zakariah pada taklimat mengenai laporan MIER di Kuala Lumpur pada 18 April.
Analisis MIER menunjukkan kejatuhan nilai ringgit kepada dolar AS lebih kurang pada kadar sama seperti baht Thai, dolar Singapura dan yuan China sehingga Mei 2015. Pada Jun, ia mula jatuh lebih rendah kepada dolar AS berbanding ketiga-tiga mata wang lain itu.
Laporan MIER menunjukkan prestasi ringgit berbanding dolar AS kini lebih teruk daripada baht Thai dengan AS. Walaupun hakikatnya ekonomi Malaysia mencatat prestasi lebih baik iaitu 4.2% pada 2016, berbanding negara jiran Thailand yang hanya meningkat 3.2%.
"Faktor bukan ekonomi mempengaruhi perasaan dan sentimen ke atas ekonomi. Boleh dikatakan ekonomi kukuh dan berdaya tahan tetapi pemain pasaran mungkin berfikir sebaliknya. Saya hanya melihat faktor ekonomi tetapi terdapat faktor bukan ekonomi.

"Antaranya ialah politik di negara ini, tahap hutang, pilihan raya umum yang mungkin berlaku tahun ini, dan bagaimana pembangkang dan parti pemerintah membawa diri mereka. Ini faktor bukan ekonomi yang mempengaruhi kadar pertukaran ringgit,” kata Zakariah.
Felo kanan penyelidikan MIER Dr Zulkiply Omar berkata trend normal bagi ringgit adalah bergerak seiring dengan mata wang serantau lain seperti baht Thai dan yuan China kerana persamaan dalam asas ekonomi.
"Penyimpangan ringgit dari laluan biasa disebabkan faktor bukan ekonomi termasuk kerana pertukaran arah portfolio akibat faktor tempatan dan luaran. Faktor terakhir ini termasuk tindakan AS meningkatkan kadar faedah dan menyebabkan aliran keluar modal."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA