Jumaat, 14 April 2017

PM lancar Jalinan Rakyat Plus, jentera BN hadapi PRU14

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus), yang bakal berfungsi sebagai platform bersama jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Perdana menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra kira-kira 3.45 petang.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan tertinggi Umno dan sayap serta pemimpin parti-parti komponen BN.

Jalinan Rakyat yang dilancarkan pada 7 Ogos 2009 bagi menggantikan Konsep Ketua 10 (K10) yang diguna pakai dalam Pergerakan Wanita Umno, merupakan pendekatan lebih strategik bagi menjalin hubungan lebih rapat dan erat dengan rakyat.

JR Plus bakal menggabungkan jentera pilihan raya sayap Umno, wanita, pemuda dan puteri serta turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing.
Dalam ucapannya, Najib berkata semangat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diamalkan kerajaan selama ini diterjemahkan dalam jentera BN yang mana ketiga-tiga sayap Umno dan parti-parti komponen pelbagai peringkat bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang berkaitan akan bekerjasama menghadapi PRU-14 nanti.

"Bezanya dahulu kita dalam lohong dan silo masing-masing, agak bersifat jaga kawasan kita. Orang lain jangan masuk dan ambil peduli. Jangan tanya pun. Era itu kita nampak sudah tidak sesuai.

"Kita hendak kerjasama bukan persaingan. Kita hendak kongsi maklumat. Apa yang kita dapat kita kongsi. Sharing is caring. Jangan kata hak ini aku punya.

"Apa guna maklumat yang Wanita dapat tetapi tidak dikongsi dengan orang lain kalau maklumat tidak diambil tindakan, ia hanya tinggal sebagai maklumat. Maklumat yang berhasil adalah yang boleh sama ada Pemuda, Puteri atau parti komponen pelbagai peringkat boleh ambil tindakan," katanya.


Najib berkata pewujudan JR Plus sebagai pelengkap kepada JR akan menjadikan BN bekerja dalam satu ikatan keluarga yang lebih besar dan kuat demi membawa kejayaan besar dalam PRU-14 nanti.
Presiden Umno itu dalam ucapannya turut memuji Pergerakan Wanita Umno yang akan mengemudi JR Plus dengan menyatakan sayap parti itu sentiasa mengambil inisiatif dan bekerja kuat daripada dahulu lagi bersama dengan Pergerakan Pemuda dan Puteri demi menjaga kepentingan rakyat.

Terdahulu, Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapannya berkata pewujudan JR Plus merupakan satu transformasi dalam Umno dan BN di bawah kepimpinan Najib, dan ia lebih bermakna kerana Umno, parti tunjang BN itu bakal menyambut ulang tahun ke-71 bulan depan.

"Jika 70 tahun dahulu serikandi terunggul Wanita Umno iaitu Allahyarham Ibu Zain naik lori berbekal bendera Umno dan peta mengelilingi Johor Bahru mengajak wanita keluar beri sokongan kepada Umno.

"Hari ini, serikandi Wanita berdiri menjunjung semangat yang sama mengajak gabungan jentera Umno dan BN di semua peringkat sebagai satu pasukan yang kuat menghadapi PRU-14 nanti," katanya.

Shahrizat berkata Jalinan Rakyat, sejak ditubuhkan pada 2009 dan mempunyai lebih 250,000 anggota berdaftar adalah seperti unit ketenteraan politik yang terbesar di seluruh negara.

Katanya kekuatan tersebut akan meningkat berganda dengan adanya JR Plus dan boleh menjadi jentera yang paling ditakuti pembangkang.

"Menerusi JR Plus kita akan teruskan usaha penyampaian maklumat, isu semasa dan polisi kerajaan kepada rakyat. Ia juga akan menjadi mata dan telinga rakyat untuk menyampaikan apa yang mereka mahu kepada pihak berkuasa dan kerajaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA