Rabu, 12 April 2017

Penganalisis: Lantikan Hishammuddin bagaikan ‘air dicincang tak akan putus’

Prof Madya Jeniri Amir menyifatkan pelantikan itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Hishammuddin dalam jangka pendek dan panjang.
jeniri-amir-hishamuddin
PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan “langkah strategik untuk tujuan strategik”, kata seorang penganalisis politik.
Prof Madya Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, pelantikan itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Hishammuddin dalam jangka pendek dan panjang.
“Bagi Najib, sesiapa mengambil alih pentadbiran negara nanti, ia bertujuan untuk melindunginya. Beliau percaya kepada sepupunya, ibarat air dicincang tak akan putus.”
Ditanya sama ada terdapat pergeseran antara Najib dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Jeniri berkata, beliau tidak dapat menjawab soalan itu.”
“Tetapi kecenderungan beliau kepada Hishammudin, beliau memihak kepada sepupunya.
“Bagi rakyat, mereka mahu pemimpin yang boleh membawa negara ke hadapan, kita menjangka apa saja jawatan diberikan kepada Hishammuddin, baik untuk negara.
“Apa pun, Najib sudah menetapkan agenda, kadang-kadang dalam politik, ia dinamakan perjuangan untuk meneruskan kehidupan.
“Beliau perlu tampil dengan perubahan strategik dan ini sebahagian daripada langkah strategik di pihak perdana menteri.”
Dalam pada itu, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, selain melaksanakan tugas sebagai menteri pertahanan, Hishammuddin boleh mengekalkan hubungan baik dengan negara Timur Tengah.
“Najib beritahu kami pagi ini, beliau bincang perkara ini dengan Zahid dan mereka setuju Hishammudin perlu diberikan tugas khas ini untuk mewajarkan lawatan beliau ke Timur Tengah tidak hanya meliputi perkara pertahanan tetapi juga mengekalkan hubungan dengan negara itu.
“Kita perlukan menteri kanan untuk bertemu kerajaan Yaman, Qatar, Kuwait, UAE atau Arab Saudi, ini sangat penting kepada kami.
“Dengan mempunyai menteri kanan yang memegang tugas khas di Jabatan Perdana Menteri untuk melihat perkara ini adalah sangat penting,” kata menteri pelancongan dan kebudayaan.
Nazri juga bertindak balas kepada soalan mengenai kali terakhir pelantikan yang sama dibuat melibatkan seorang menteri kanan.

Pada tahun 1998, pada kemuncak krisis ekonomi Asia, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memasukkan semula Tun Daim Zainuddin ke dalam Kabinet.
Langkah itu dilihat untuk melemahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi menteri kewangan pada masa itu.
Anwar dipecat 3 bulan kemudian yang mencetuskan krisis politik paling teruk Malaysia.
Apabila ditanya mengenai perkara itu, Nazri yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno hanya menjawab, Daim tidak pernah dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA