Isnin, 17 April 2017

PAS desak kerajaan gantung permit Nanyang seminggu

Idris Ahmad berkata, PAS masih dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap Nanyang Siang Pau.
Idris-Ahmad-MP-PAS-Bkt-GantPETALING JAYA: PAS tidak berpuas hati dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil tindakan terhadap akhbar Nanyang Siang Pau yang menyiarkan karikatur mempersendakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, KDN sepatutnya memberi amaran keras dengan menggantung permit penerbitan akhbar berbahasa Cina itu selama seminggu.
“Isu ini sensitif dan perlu dijaga. Kita tak puas hati. Sepatutnya beri amaran keras atau gantung seminggu (permit). Sekurang-kurangnya beri pengajaran kepada dia (Nanyang Siang Pau).
“Kita tak nak isu yang membabitkan agama, hina agama Islam mahupun bukan Islam dan bangsa (berulang). Ini isu sensitif masa ini,” katanya kepada FMT hari ini.
Pada 8 April lalu, ruang kartun akhbar itu memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Susulan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed kelmarin berkata, KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap Nanyang Siang Pau kerana sudah menerima penjelasan dan permohonan maaf mereka.
Semalam, Nur Jazlan berkata, KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap akhbar itu, sebaliknya menyerahkan kepada syarikat terbabit untuk mengambil tindakan dalaman sewajarnya terhadap individu berkenaan.
Katanya, Nanyang Siang Pau ialah sebuah akhbar yang mempunyai sejarah lama dan kerajaan turut mempertimbangkan kepentingan serta peranan akhbar itu dan juga pekerjanya, tetapi mereka tidak boleh mengulangi kesilapan sama.
Idris berkata, buat masa ini, PAS masih dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu.

“Namun, buat masa ini, saya belum dimaklumkan lagi oleh jawatankuasa undang-undang PAS. Nanti ada keputusan kita akan beritahu,” katanya.
Pada 11 April lalu, seramai 150 ahli Pemuda PAS mengadakan demonstrasi di ibu pejabat Nanyang Siang Pau dengan mengemukakan 4 tuntutan, antaranya memohon maaf secara terus kepada Hadi.
Nanyang Siang Pau kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Hadi di akhbarnya, serta mengeluarkan kartun itu dari laman webnya, eNanyang.my.
Walaupun dengan permohonan maaf itu, PAS melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mereka mungkin menyaman akhbar itu dan mendesak KDN mengkaji semula permit penerbitannya.

1 ulasan:

  1. Jgn over sgt la pas oi. Mulut celupar tuang presideng mencaci maki lg teruk. Oops sorry, naib ketua dewan apa?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA