Jumaat, 14 April 2017

Pas bersendirian pada PRU14

KENYATAAN Naib Presiden Pas, Idris Ahmad bahawa partinya akan bertanding 80 kerusi parlimen pada PRU14, tidak sedikit pun memberikan jaminan parti itu akan mencapai kemenangan lebih besar berbanding PRU lalu.
Pada PRU lalu, Pas bertanding 73 kerusi dan hanya menang 21 kerusi. Boleh dikatakan hampir kesemua kerusi Pas yang kalah adalah di tangan BN.
Pas bersendirian pada PRU14 Melalui kolumnya, Penolong Pengarang Sin Chew Daily, Tay Tian Yan berkata, Pas kini sudah tidak berada dalam pakatan pembangkang dan boleh bertanding seberapa banyak kerusi dan kawasan yang diinginkan.
Bagaimanapun, parti itu tetap akan menghadapi saingan sengit sama ada satu lawan satu dengan BN ataupun tiga penjuru daripada Pakatan Harapan.
"PRU akan datang, Pas tetap akan bertembung dengan Umno di kawasan Melayu. Sekiranya Pas mahu menang dengan lebih banyak kerusi, mereka mesti merampas kerusi daripada Umno.
"Pas tidak mungkin boleh menang di kawasan majoriti Cina yang dimenangi oleh DAP ataupun kawasan campuran yang dimenangi oleh PKR.
"Tambahan lagi, kemenangan Pas di dalam 21 kerusi parlimen dan 85 kerusi Dun pada PRU lalu adalah hasil kerjasama dibentuk dalam Pakatan Rakyat ketika itu, iaitu memastikan situasi satu lawan satu dengan BN," tulis Tian Yan.
Beliau meramalkan Pas bakal kalah banyak kerusi dalam PRU kali ini, lebih-lebih lagi di Selangor dan Perak kerana tidak akan mendapat sokongan daripada pengundi bukan Islam lagi.
"Malah, sekiranya Amanah menunjukkan kekuatan dan mampu memecahkan undi, Pas kemungkinan  hilang kuasa di Kelantan dengan Umno mengambil alih sebagai kerajaan baharu di sana," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA