Selasa, 18 April 2017

Muktamar PAS 2017 ibarat perlawanan persahabatan - Mohd Amar

Muktamar kali ini dijangkakan membincangkan isu ‘tahaluf siyasi’ antara PAS dan PKR serta persiapan PRU14
nik-pas
Muktamar PAS ke-63 yang bakal berlangsung di Kedah mulai 27 April sehingga 1 Mei ini dianggap lebih tenang berbanding pemilihan 2 tahun lalu, kata naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau menyifatkan saingan yang wujud daripada pemilihan pada Muktamar PAS kali ini sebagai perlawanan persahabatan.
“Kalau dalam perlawanan bola sepak, kita panggil ia perlawanan persahabatan.
“Berbeza pemilihan 2 tahun lepas, apabila berlaku pertembungan antara 2 kelompok berbeza dan suasananya lebih tegang,” katanya yang dipetik Sinar Harian.
Muktamar Dewan Pemuda dan Muslimat akan diadakan di Kompleks PAS Kedah serta di Pusat Pengajian Darul Hadis di Kampung Tok Keling, pada 27 hingga 28 April ini.
Muktamar Dewan Ulama PAS pula bermula 28 April di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop.
Ahli PAS berpecah
Dua tahun lalu, Muktamar PAS ke-61 menyaksikan pembersihan besar-besaran di mana kumpulan progresif yang menentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disingkirkan selepas tidak dipilih perwakilan.
Ia disusuli dengan tindakan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan ahli lain yang kecundang menubuhkan parti pembangkang baharu dikenali sebagai Amanah dan menyertai Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR dan DAP.
PAS pula meneruskan perjalanan politiknya dengan membentuk blok ke-3 pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Amar berkata, antara isu yang dijangka hangat dibincangkan pada Muktamar PAS tahun ini ialah tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR serta persiapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya berharap perjalanan muktamar berlangsung dengan baik dan menghasilkan keputusan bermanfaat untuk masa depan PAS bagi menghadapi PRU14.
“Kita terima kemasukan ramai ahli baharu, bulan ini sahaja 7,000 ahli baharu diluluskan dan bulan lalu seramai 5,000 orang.
“Ini menunjukkan perkembangan pesat PAS dan ia berjaya menarik minat golongan muda menyertai parti ini, kita digambarkan orang muda tidak berminat PAS, tapi kita tengok sebaliknya.”
Hubungan dengan PKR dan PPBM
Menjelaskan hubungan PAS dan PKR, Amar berkata, banyak kawasan mencadangkan memutuskan hubungan dengan PKR, terutamanya di Kelantan.

“Ada 2 perkara, pertama seandainya usul ini diluluskan, ia akan masuk ke peringkat ke-2, iaitu pelaksanaan.
“Jawatankuasa PAS Pusat yang akan tentukan sama ada mahu terus dilaksanakan atau tidak.
“Perkara itu bukan terus dimuktamadkan apabila diputuskan pada muktamar, ada tempoh dan biasanya Jawatankuasa PAS Pusat yang buat keputusan dengan melihat suasana dan ‘maslahah’,” katanya.
Beliau berkata, PAS turut menyuarakan pendirian tidak akan bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berikutan penyertaan mereka dalam Pakatan Harapan.
“Majlis Syura memberi pandangan PPBM sudah masuk Pakatan Harapan, maka PAS tidak boleh mengadakan hubungan dan perbincangan dengan mereka. Itu keputusan muktamad, maka tidak perlu dibawa ke muktamar kerana ini keputusan yang boleh dibuat di peringkat Majlis Syura saja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA