Selasa, 18 April 2017

Menteri Umno minta agamawan jelaskan penangguhan RUU 355 kepada masyarakat

Penjelasan itu bagi mengelak kekeliruan dan tidak dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab.
Jamil-Khir-Baharom-ruu355KUALA TERENGGANU: Golongan agamawan termasuk guru kelas Al-Quran dan fardu ain (Kafa) serta Imam perlu memberi penerangan tepat kepada masyarakat mengenai penangguhan perbahasan rang undang-undang persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU 355.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penerangan itu bukan sahaja bagi mengelak kekeliruan malah agar ia tidak dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab yang kemudiannya hanya merugikan ummah.
“Orang Islam kena bangun berjuang bersama-sama, jika ada sedikit perbezaan yang kecil kita perlu bijak menanganinya.
“Jangan bertanya kenapa RUU 355 dibentang oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukannya kerajaan.
“Jangan bertanya dan jangan guna bahasa kesat sesama kita, orang Islam mesti sama-sama memahami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Multaqa Murabbi Ummah negeri Terengganu 2017 hari ini.
Pada 6 April lalu, sesi perbahasan RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat akan datang selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan demikian menggunakan kuasanya sebagai speaker yang tidak tertakluk kepada Peraturan 15 Dewan Rakyat.
“Tak mungkin RUU 355 boleh dibaca hari tersebut kalau pembentangan rang undang-undang kerajaan tidak selesai.
“Pembentangan rang undang-undang kerajaan dihabiskan awal pagi kira-kira jam 4.57 pagi, YB (Yang Berhormat) menunggu dalam dewan sebab dalam peraturan Parlimen rang undang-undang ini perlu dihabiskan dulu.
“Selagi tidak habis, dalam peraturan tidak boleh dibentangkan rang undang-undang persendirian dan waktu itu sudah jam 4.57 pagi (Khamis).

Kita jangan cepat menentang tetapi kena cepat memahami, mari kita betulkan bersama dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau juga berkata guru Kafa, imam, bilal dan guru takmir di Terengganu menikmati kenaikan elaun sehingga RM100, membabitkan kos keseluruhan lebih RM50 juta malah turut memperoleh durian runtuh iaitu bilal diberi bonus sebanyak RM500, membabitkan kos berjumlah RM508,500.
Jamil berkata, keprihatinan kerajaan dalam membantu agamawan adalah satu usaha menghargai peranan dan usaha mereka yang terlibat sama ada di peringkat tinggi mahupun bawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA