Ahad, 16 April 2017

Menjelang pilihan raya, Najib berubah jadi lebih tegas

DI ambang tibanya pilihan raya umum yang semakin hampir, ia menjadikan Najib Razak seseorang yang tidak mengenal belas kasihan.
Dalam sebahagian besar perjalanan karier politiknya, perdana menteri dituduh bersikap terlalu berhati-hati. Malah ada yang menggunakan perkataan “tidak dapat membuat keputusan” bagi menjelaskan kecenderungannya untuk tunggu dan tunggu... dan tidak bertindak.
Tetapi pegawai kerajaan dan sumber dalaman Umno sedar ada perubahan dalam diri PM. Dengan ramai melihat pilihan raya umum akan datang bakal berdepan dengan pertandingan sengit di seluruh negara, beliau kini lebih bersedia menggunakan kuasanya untuk memberi tekanan terhadap pesaing politiknya dan memotong sumber dana daripada masyarakat perniagaan kepada pembangkang.
Beliau juga dengan jelas menyatakan pandangannya, kesetiaan kelayakan utama bagi mengisi jawatan kanan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan kini lebih sanggup menolak calon ditawarkan kepadanya oleh ketua GLC dan syarikat pelaburan milik kerajaan, Khazanah Nasional Bhd.
Sebagai contoh, The Malaysian Insight difahamkan yang Mohammed Shazalli Ramly ialah pilihan Najib sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan baharu bagi Telekom Malaysia Bhd. Beliau sebelum ini ketua eksekutif Celcom Bhd.
Pada masa lalu, Najib sering tunduk kepada cadangan dan syor GLC, percaya yang mereka berkelayakan untuk membuat keputusan pelantikan kakitangan.
Tetapi dengan pilihan raya umum dijangka diadakan penghujung tahun ini dan kerajaan memerlukan agensi kerajaan dan badan berkanun mempunyai haluan sama dengan Putrajaya, Najib sudah bersedia menawarkan calon bagi jawatan kanan.
Mungkin tidak ada yang lebih jelas untuk menunjukkan ketegasan baharu itu berbanding keputusan melantik Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas.
Sekali imbas, ia nampak seperti kenaikan pangkat, atau sekurang-kurangnya sokongan kepada sepupunya sebagai seseorang yang disegani apabila pewarisan politik dibincangkan.
Penyokong Hishammuddin gembira dengan pelantikan itu dan pemerhati politik dengan cepat menulis epitaf untuk Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang kuat Najib.
Tetapi seorang sumber penting memberitahu The Malaysian Insight Najib percaya berpasangan dengan Zahid memberikannya peluang terbaik untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau yakin timbalannya itu boleh diharapkan untuk memperoleh 40% undi Umno pada pilihan raya umum, memandangkan rangkaiannya yang kuat dan popularitinya dalam kalangan akar umbi.
Sebaliknya, Hishammuddin tidak mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan ahli akar umbi yang Najib perlukan. Beliau tidak turun padang sebaik Zahid.
Malah, beliau akan tertekan untuk mendapatkan semula kedudukannya sebagai salah seorang naib presiden Umno. Bukti anekdot mencadangkan jika pemilihan parti dibuat hari ini, undi untuk Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Ismail Sabri dan Menteri Pendidikan Mahadzhir Khaled akan jauh lebih banyak berbanding Hishammuddin.
Sebagai menteri tugas-tugas khas, Hishammuddin dijangka akan kerap melakukan lawatan ke luar negara dan mengukuhkan hubungan Malaysia dengan rakan kongsi utama. Beliau juga dijangka akan bertindak seperti menteri luar kedua.

Tetapi isi utama mengenai pelantikan itu ialah beliau dijangka tidak berada di Malaysia bagi satu tempoh lama, meninggalkan semua persediaan untuk pilihan raya dikendalikan oleh Najib dan Zahid.
PM jelas menunjukkan Zahid menjadi aset lebih besar di tanah air di Malaysia sementara sepupunya itu berguna di luar negara.
Difahamkan Najib akan menggunakan sambutan ulang tahun Umno ke-71 pada 11 Mei untuk mengumpulkan ahli parti menjelang pilihan raya dan menunjukkan dengan jelas, beliau mahu Zahid dalam medan tempur yang mungkin paling sukar pernah dihadapi Umno.
Kesudahannya mudah saja. Najib mahu terus mengekalkan kuasa dan setiap pilihan yang ada akan digunakan bagi memastikan ia berlaku. Dan setiap penyokong amat berharga dalam perjuangan demi Putrajaya – tidak kira ia ahli politik atau pemimpin korporat.

1 ulasan:

  1. yg sebenarnyer najib nampak bersedia dgn kerja2 tipu daya pilihanraya melalui agen2 haramjadahnyer....SPR dan JPN......

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA