Isnin, 17 April 2017

Mahu kebenaran, bukan duit, Rafizi saman Raja Petra

Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau menyedari penulis blog yang muflis itu tidak terkesan dari segi kewangan walaupun disaman.
rafizi-petraNaib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau sudah membuat keputusan menyaman Raja Petra Kamaruddin berhubung dakwaan menerima jutaan ringgit daripada seorang ahli perniagaan, walaupun sedar penulis blog itu sudah muflis dan tidak mampu membayar apa-apa pampasan kepadanya.
“Kalau pun saya menang, saya tidak akan mendapat apa-apa pampasan dari beliau, malah saya terpaksa membayar lagi yuran guaman dalam memfailkan saman tersebut,” kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata berdasarkan carian beliau dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, satu-satunya syarikat di mana Raja Petra memiliki saham sudah dibubarkan manakala bekas aktivis reformasi yang kini berada di Britain itu juga diisytiharkan muflis.
“Tetapi saya bukan mahukan wang. Saya mahukan kebenaran,” kata Rafizi.
Ia susulan dakwaan Raja Petra baru-baru ini yang Rafizi merupakan antara beberapa pemimpin PKR yang menerima jutaan ringgit daripada ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen, yang kini dipenjarakan di Singapura atas kesalahan terlibat dalam kejatuhan saham republik itu pada 2013.
Antara lain, Raja Petra menamakan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, dan portal Free Malaysia Today.
“Zaid Ibrahim sahaja sebanyak RM6 juta. Manakala Rafizi dan Saifuddin Nasution menerima habuan mencecah angka RM20 juta.
“Anwar Ibrahim menerima habuan lebih banyak daripada angka tersebut, begitu juga Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah.
“Di sebalik semua itu, Free Malaysia Today menerima habuan sebanyak RM 12 juta seperti mana The Malaysian Insider menerima RM13 juta dari Tong Kooi Ong, juga Ho Kay Tat iaitu penerbit kumpulan The Edge Media Group,” kata Raja Petra minggu lalu.
‘Penulis upahan’
Rafizi berkata Raja Petra merupakan penulis upahan, dan menasihati ahli politik daripada pembangkang dan kerajaan berhati-hati dengan berita yang dimuat naik olehnya.

“Malangnya fitnah beliau selalu juga digunakan oleh tokoh-tokoh masyarakat yang tidak menyelidik dahulu fakta sesuatu perkara,” kata Rafizi, sambil menegur Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menurutnya mengheret Anwar ke dalam pertikaian melibatkan isu dana berkait 1MDB ke dalam akaun ahli PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa.
Khamis lepas, Rafizi mengeluarkan akuan berkanun mendakwa ada maklumat aliran wang berkait 1MDB ke dalam akaun Nasharudin, yang juga bekas timbalan presiden PAS.
Amar baru-baru ini berkata sekiranya akuan berkanun Rafizi diterima, akuan berkanun Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Anwar juga perlu diyakini.
Rafizi berkata Amar terkeliru kerana tuduhan Saiful bukan melalui akuan berkanun.
Sebaliknya, akuan berkanun seorang doktor yang mendapati Saiful tiada kecederaan di bahagian duburnya, tidak pernah dicabar.
“Pihak polis juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang menunjukkan Akuan Berkanun itu benar,” kata Rafizi merujuk bekas doktor di Hospital Pusrawi yang merawat Saiful.

1 ulasan:

  1. confirm Raja Petra dapat dedak berjuta2 nie...nak dekat PRU nie....confirm dpt wang besar nie......tapi taklah smapai rm2.6 billion......nnt lawan tauke pulok.....hihihihi

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA