Rabu, 12 April 2017

Mahfuz pula gesa MB, Pemuda Umno Kedah minta maaf

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pemuda Umno  memohon maaf kepada penduduk kampung yang datang untuk bertemu Menteri Besar Kedah itu di Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 10 April lalu.
Datuk Mahfuz Omar Mahfuz berkata, reaksi Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata  ketika itu tidak bersopan kerana enggan bertemu dengan rakyat yang membawa masalah yang dihadapi di kawasan masing-masing.
"Jadi saya anggap Menteri Besar ini tidak bersopan. Bukan kurang sopan, memang tidak sopan.
"Jadi saya harap pihak Menteri Besar meminta maaf kepada penduduk-penduduk Bukit Pinang dan penduduk di tepi laut Kuala Kedah yang hadir sama untuk menyerahkan memorandum berkaitan masalah yang dihadapi oleh mereka," kata Mahfuz pada sidang media yang diadakan di Pusat Komuniti DAP Adun Derga, hari ini.
Sidang media yang diadakan di premis Adun DAP Derga, Tan Kok Yew, itu turut dihadiri oleh Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, dan penduduk kampung terbabit.
Kata Mahfuz, Ahmad Bashah selaku Menteri Besar dan Pengerusi Permodalan Kedah Berhad (PKB) tidak mengambil peduli tentang permasalahan penduduk Kampung Baru di Bukit Pinang dan "lari" dari memikul tanggungjawab sebagai pemimpin yang prihatin.
 Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menuntut supaya Pergerakan Pemuda Umno Negeri turut memohon maaf kerana membela Ahmad Bashah dengan membuat satu laporan polis terhadap beliau, semalam.
Pada 10 April lalu, Mahfuz dilaporkan telah menyerbu masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri sejurus selepas sidang Dun ditangguhkan bersama sekumpulan individu yang dipercayai penduduk kampung terlibat untuk menyerahkan memorandum kepada Ahmad Bashah.
Walau bagaimanapun, Ahmad Bashah menyifatkan tindakan anggota Parlimen Pokok Sena itu menyerbu masuk bagi menyerahkan memorandum bantahan kepadanya sebaik sidang Dewan Undangan Negeri ditangguhkan pada Isnin sebagai kurang sopan.

Katanya beliau sudahpun mengarahkan pegawainya supaya menerima memorandum tersebut bagi pihak beliau seperti amalan biasa yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin kerajaan sebelum ini.
Mahfuz hadir bersama-sama 14 penduduk yang membantah tanah mereka di Kampung Baru, Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang yang didakwa mahu diambil oleh Permodalan Kedah Berhad bagi tujuan pembinaan rumah kakitangan kerajaan.
Ahmad Bashah turut mempersoalkan niat Mahfuz itu yang tidak ubah seperti mahu mencari populariti sekaligus menutup kelemahannya di kawasan yang diwakilinya
Pemuda Umno Kedah pada Selasa turut membuat laporan polis berhubung tindakan Mahfuz yang menyerbu masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri bagi menyerahkan memorandum bantahan bersama beberapa penduduk sebaik sidang DUN tamat dianggap sebagai biadap.
Laporan dibuat Setiausaha Kerja Pemuda Umno negeri Mohd Tahir Md Zain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA