Sabtu, 15 April 2017

Lantikan Hisham bukti kempen fitnah Umno gagal

Ki siang juga mendakwa Umno mula sedar yang pengundi Melayu tidak tertarik dengan kempen fitnah terburuk terhadap beliau dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain.
limkitsiang-hishamudin2Lim Kit Siang menyifatkan pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas sebagai pendekatan politik dan strategik kerana usaha parti itu memburuk-burukkan Pakatan Harapan (PH) gagal.
Ketua Parlimen DAP itu mendakwa Umno mula sedar yang pengundi Melayu tidak tertarik dengan kempen fitnah terburuk terhadap beliau dan juga pemimpin-pemimpin PH yang lain.
Sehubungan itu katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdesak untuk melantik sepupunya, Hishammuddin sebagai “lelaki kedua paling berkuasa” dalam kerajaan pada hari ini.
Katanya, keputusan itu juga meletakkan Hishammuddin mengatasi kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno.
Zahid yang dilantik mengisi tempat Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan naib presiden Umno.
“Ia hanya bermakna yang kesungguhan dan peningkatan kempen fitnah Umno dan BN dengan bantuan media dikawal mereka, tidak memberi pemimpin BN ketenangan,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Rabu lalu, Najib mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai menteri tugas-tugas khas. Hishammuddin masih mengekalkan portfolio beliau dalam Kabinet sebagai Menteri Pertahanan.
“Rekod politik saya selama 51 tahun dan ahli-ahli DAP merupakan satu buku terbuka. Kami menyokong keadilan dan hak-hak ekonomi dan politik asas untuk semua rakyat Malaysia, bukan hanya untuk satu-satu kaum atau agama.

“Kami sebenarnya lebih Malaysia daripada mereka yang menyerang kami,” kata beliau lagi.
Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menolak kritikan bahawa beliau mengawal pemimpin-pemimpin PH termasuk ketua de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.
“Selama 15 tahun, dari 1998 hingga pilihan raya umum 2013 (PRU13), saya dituduh terutama oleh propagandis MCA dan Gerakan sebagai tali barut dan boneka Anwar.”
Kata Kit Siang, selepas PRU13 pengkritik pula mendakwa beliau bukan sahaja bonek Anwar, Wan Azizah, Azmin, Mat Sabu, tetapi juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bagaimana perubahan ini boleh berlaku kecuali kerana pembohongan Umno dan BN?” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA