Rabu, 19 April 2017

'Ku Nan, apa pula hukum kerajaan tipu rakyat'

Anfaal SaariAnfaal Saari
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Mansor diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum 'haram' bagi menakut-nakutkan pengusaha restoran mamak.
Tengku Adnan juga tidak sewajarnya menyamakan tindakan mencatut harga makanan dengan parti pembangkang, kata Pengarah Biro Komunikasi Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) Anfaal Saari.
"Saya boleh bersetuju bahawa mencatut merupakan satu tindakan yang wajib dielakkan oleh para peniaga dan saya menyokong sebarang langkah membanteras sikap begini.
"Walau bagaimanapun, sebagai parti yang memerintah, pemimpin Kerajaan Umno-BN pula mesti melihat perkara ini dengan lebih mendalam dan menyeluruh. Bukannya bersikap tidak matang apabila menyamakan peniaga yang mencatut dengan pembangkang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas teguran pengusaha-pengusaha restoran mamak yang mengenakan caj melampau ke atas teh tarik dan roti canai pada mesyuarat agung tahunan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Sabtu lalu.
"Adakah terdapat satu kilogram gula di dalamnya (secawan teh tarik)? Mengapa?
"Begitu juga dengan tepung dan minyak masak. Mengapa harga sekeping roti canai naik mendadak?
"Jangan mencatut. Haram (dilarang)!" katanya seperti dipetik Bernama.
Meskipun bersetuju dengan teguran itu namun Anfaal berkata, tindakan peniaga menaikkan harga berkait dengan kenaikan harga petrol dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Apabila sesuatu barang jualan dinaikkan harga, isunya bukan kepada bahan asas yang digunakan sahaja tetapi turut meliputi pelbagai hal-hal lain seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan(GST), ketidaktentuan harga pasaran petrol dan diesel, harga barang mentah lain yang meningkat selain gula, tepung dan sebagainya," katanya.
Beliau juga hairan dengan keberanian Tengku Adnan 'membelasah' peniaga mamak secara terbuka.
"Adakah hanya golongan peniaga ini sahaja yang menaikkan harga jualan?

"Atau adakah kerana golongan India Muslim lebih kuat berusaha mencari rezeki dan kurang berpolitik, maka beliau menjadikan mereka sebagai 'punching bag' bagi menunjukkan ketegasannya kerana tahu golongan ini tidak berminat untuk membantah kenyataan Kerajaan terhadap mereka?" soalnya.
Justeru beliau mengajukan soalan mengenai hukum pemerintah yang menipu rakyat dengan mendakwa kononnya pelaksanaan GST mampu mengurangkan harga barang di pasaran.
"Ketika ini, tiada rakyat yang tidak terkesan dengan kesan GST yang dilaksanakan Kerajaan. Bukan sedikit rakyat yang ditindas akibat sikap gopoh Kerajaan Umno-BN yang mahu mengaut duit daripada rakyat melalui cukai ini bagi menampung kantung negara yang semakin kering.
"Semakin hari, semakin banyak kisah rakyat yang mengeluh tentang kenaikan kos sara hidup sekarang ini manakala Kerajaan pula berbangga dengan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA