Sabtu, 15 April 2017

Kera dapat bunga, Fahmi Reza sindir Hadi

PAS sedia ambil tindakan sekiranya mendapati ada unsur fitnah terhadap Hadi.
Fahmi-Reza-kartun-koyakPETALING JAYA: Aktivis Fahmi Reza yang sebelum ini berhadapan masalah kerana kartun yang menggambarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai badut, kini menghalakan penanya ke arah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam posting terbarunya di Facebook, Fahmi memuat naik lakaran Hadi mengoyak keratan helaian Nanyang Siang Pau, dengan ayat “Seperti kera mendapat bunga”.
Ia dipercayai merujuk kepada kemarahan dan protes penyokong PAS terhadap akhbar berbahasa Cina itu yang menuntut ia meminta maaf kerana menyiarkan kartun monyet mempersendakan Hadi dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Dalam reaksi segeranya, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu FMT, beliau masih belum melihat karikatur itu tetapi dan menyerahkannya kepada peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Seperti kartun yang diterbitkan Nanyang Siang Pau, kami berikan kepada peguam untuk mereka lihat sama ada kami boleh ambil tindakan.
“Presiden kami ada hak untuk tidak difitnah, atau digambarkan secara buruk seperti itu. Jadi kami mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang jika perlu,” katanya.
Takiyuddin menambah, karikatur Fahmi sengaja untuk membangkitkan kemarahan dan mengalihkan pandangan daripada keutamaan PAS, iaitu memperkasakan mahkamah syariah.
Sebelum ini, Nanyang Siang Pau menerbitkan kartun bertajuk “Akta Drama Monyet”, memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dengan label Hadi bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk kepada rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.
Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang selepas Pandikar menangguhkan sidang sebelum memberikan ruang RUU dibahaskan.
Tindakan akhbar Nanyang Siang Pau yang menyiarkan kartun itu menimbulkan ketidakpuashatian PAS sehingga menganjurkan demo di hadapan pejabat akhbar berbahasa Cina itu Selasa lalu.
Kementerian Dalam Negeri pula telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar itu.
“Rasa tersinggung?’

Fahmi dalam status Facebook beliau meminta pandangan orang ramai tentang “lukisan protes terbaru aku yang menggambarkan presiden PAS sebagai monyet”.
“Aku hasilkan karya lukisan itu sebagai bantahan dan kritikan terhadap tindakan PAS dan penyokong PAS yang mengamalkan ‘censorship’ bila mereka cuba sekat sebuah kartun satira yang diterbitkan oleh akhbar Nanyang, tindakan yang aku anggap bercanggah dengan kebebasan ekspresi seni dan kebebasan media.
“Adakah kamu rasa tersinggung dengan lukisan gambar monyet terbaru aku itu? Adakah kamu rasa lukisan karikatur itu keterlaluan, terlalu provokatif, dan patut dipadamkan? Jika ya, kenapa? Jika tidak, kenapa?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA