Jumaat, 14 April 2017

Jangan main tuduh-tuduh, DAP gesa Hadi Awang tunjuk bukti

GEORGE TOWN, 13 APR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kesal dengan tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan kata-kata tidak sopan terhadap DAP ketika berucap pada ceramah di Marang, Terengganu baru-baru ini.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sebagai seorang pemimpin, Abdul Hadi tidak seharusnya menggunakan kata-kata tidak sopan untuk menyerang pihak yang tidak bersetuju dengannya.
“Penggunaan bahasa yang kurang sopan adalah tidak sesuai sebagai seorang pemimpin, (apatah lagi) beliau juga merupakan ketua parti dan seorang ulamak.
“(Dan) ini bukanlah kali pertama Abdul Hadi menggunakan bahasa tidak sopan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seseorang yang mahu menjadi ketua negara ataupun menteri besar,” katanya kepada pada sidang media di Komtar, hari ini.
Jelas Guan Eng, apabila bahasa yang kurang sopan tersebut digunakan berkali-kali, ia akan menimbulkan kemarahan rakyat bukan Islam dan Melayu di negara ini.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan dengan kenyataan Hadi Awang yang mengaitkan DAP kononnya berpakat dan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan dalam politik Malaysia.
“(Kenyataan) yang dikeluarkan ini tidak disokong dengan bukti-bukti…tidak disebut pemimpin mana dan saya menganggapnya sebagai suatu fitnah jahat beliau.
“Cuma saya harap, beliau (Abdul Hadi) tunjukkan bukti pemimpin DAP mana yang berpakat dengan Amerika Syarikat…selagi tidak ada bukti, saya menganggapnya sebagai satu lagi fitnah jahat beliau.
“Lagipun, kita (DAP) tidak ada hubungan seperti yang dikatakan oleh Abdul Hadi, bukan sahaja dengan Amerika Syarikat, malah Singapura…janganlah baling batu sembunyi tangan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tegas Guan Eng, Abdul Hadi seharusnya mengemukakan bukti bagi setiap tuduhan yang dibuat.
“Saya faham, mungkin dia (Abdul Hadi) cuba alihkan perhatian umum daripada (isu) yang dikatakan penglibatan salah seorang pemimpin Pas dalam isu 1MDB..
“(Dan) kami (DAP) tidak mahu dijadikan alat untuk mengalih perhatian daripada isu berkaitan.
“Lagipun, DAP secara konsisten menyuarakan isu berhubung 1MDB ini dan mendesak agar tindakan diambil juga terhadap Jho Low,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA