Sabtu, 15 April 2017

Jangan main-main RUU 355 dan anda tidak dipermainkan, Khalid beritahu PAS

RUU yang dibawa PAS lebih kepada mainan politik daripada kerajaan BN, kata pemimpin Amanah.
khalidsamad-ruu355-pasPETALING JAYA: Amanah berkata sekiranya rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) serius dibentangkan di Dewan Rakyat, sudah tentu tidak akan ada mana-mana pihak mempermainkan akta itu.
Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata RUU 355 itu lebih kepada mainan politik daripada Barisan Nasional (BN) sehingga ada pihak yang memainkan akta itu dengan sindiran, termasuk dengan menggambarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sebagai monyet.
“Saya lihat RUU 355 ini lebih kepada memberi PAS untuk seronok tetapi tidak capai apa-apa. BN tetap padu kerana RUU 355 tidak dibahas. Ini mainan politik sebabnya 3 kali sudah ditunda.
“Dan apabila buat gambar, marah. Kalau tak nak kena perli, jangan main-main,” katanya dalam satu ceramah di Johor, Khamis lalu.
Khalid merujuk kartun bertajuk “Akta Drama Monyet” yang diterbitkan Nanyang Siang Pau, memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dilabel “Hadi”, bertenggek di sebatang pokok bernama “Akta 355”, merujuk kepada rang undang-undang persendirian Presiden PAS itu untuk RUU 355.
Kartun itu merupakan gambaran sinis terhadap sesi Dewan Rakyat minggu lalu, yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Khalid, yang berulang kali mempersoalkan tindakan Pandikar menangguhkan sidang tanpa memberi ruang perbahasan.

Susulan itu, penyokong PAS dan Umno mengadakan protes mengutuk Nanyang Siang Pau sebagai “biadap”, sementara Kementerian Dalam Negeri menghantar surat tunjuk sebab kepada akhbar berbahasa Cina itu.
Khalid berkata RUU 355 yang dibentangkan lebih kepada ceramah, tetapi tidak dibahaskan.
“Jika RUU 355 serius untuk dibahaskan ia mestilah dibahas seperti RUU lain yang penting dan boleh dibahas sehingga jam 5 pagi,” katanya, dipercayai merujuk rekod Dewan Rakyat baru-baru ini yang bersidang sehingga awal pagi bagi meluluskan cukai pelancongan.
“Ini tidak, tunda RUU 355 pada jam 4 petang atas alasan menggunakan kuasa speaker Dewan Rakyat.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA