Rabu, 19 April 2017

Jangan anggap remeh ahli keluar, naib presiden PPBM beritahu Muhyiddin

Jangan terus menganggap perkara ini kecil dan mengatakan tidak mengapa dan menuduh orang itu ini tinggalkan parti sebab dia kecewa, kata Hamidah Osman.
hamidah-osmanPETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini menyeru presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius tindakan salah seorang pengasas parti itu, Kamarulzaman Habibur Rahman keluar parti.
Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata pemimpin PPBM dan Muhyiddin tidak boleh berdiam diri atau menganggap tindakan keluar parti perkara yang remeh.
“Saya sedih dengan tindakan yang dibuat sebab saya tahu Kamarulzaman ini adalah orang yang awal dan pengasas parti dan saya tahu beliau banyak berkorban.
“Saya rasa perkara ini satu perkara serius dan tidak boleh dipandang remah, Muhyiddin selaku presiden kena melihat perkara ini dan tidak boleh terus berdiam diri.
“Jangan terus menganggap perkara ini kecil dan mengatakan tidak mengapa dan menuduh orang itu ini tinggalkan parti sebab dia kecewa, sebab akhirnya parti menerima akibat,” katanya kepada FMT.
Hari ini, Kamarulzaman mengumumkan keluar PPBM dan meletak semua jawatan parti, dengan berkata pemimpin parti hanya mengutamakan jawatan dan bukannya berjuang untuk rakyat.
“Ramai di kalangan mereka yang menghabiskan masa untuk berada bersama pemimpin dan lebih suka memburukkan penggerak yang membuat kerja. Saya juga dapati PPBM mempergunakan para penggerak awal dalam mendapatkan sokongan terhadap parti.
“Saya mula sedar bahawa dalam PPBM seperti ada perbezaan darjat dan kasta, seorang ahli itu akan lebih tinggi darjatnya sekiranya dia merupakan kenalan kepada presiden, timbalan presiden dan setiausaha agong,” kata Kamarulzaman.
Hamidah berkata isu keluar parti bukan perkara baru tetapi pernah berlaku melibatkan tindakan keluar beramai-ramai di beberapa kawasan.
“Benda ini bukan pertama kali, kita lihat berlaku di Baling, kita juga lihat berlaku di Rembau dan ini pula melibatkan majlis pimpinan tertinggi, Saya rasa Muhyiddin kena teliti apa yang diperkatakan Kamarulzaman supaya perkara ini tidak menjadi satu barah,” katanya.
Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin terkejut dengan keputusan Kamarulzman, menyifatkannta satu kehilangan besar buat parti.

“Ia adalah satu kehilangan besar bagi saya secara peribadi. Mungkin tidak bagi orang lain. Saya kenal beliau lebih dari yang lain. Saya tahu semangat perjuangannya lebih dari yang lain,” katanya dihubungi FMT.
Anina berkata beliau tidak bersetuju sekiranya ada pihak cuba mengecam Kamarulzaman susulan keputusannya.
“Tutuplah mulut jahat kita jika kita tidak pernah berkorban dan berani menentang Datuk Seri Najib Razak sepertimana yang telah beliau lakukan,” katanya.
PPBM ditubuhkan pada 8 September 2016, dan rata-rata dianggotai bekas pemimpin Umno.

1 ulasan:

  1. Kalau nk berjuang kenala ikhlas tkyah beralasan banyak sangat..kerna setiap tindakan patah balik dianggap tidak ikhlas dlm perjuangan..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA