Isnin, 17 April 2017

Exco Kelantan: Peniaga bukan Islam juga perlu henti niaga ketika solat Maghrib

Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, waktu pemberhentian operasi tidak melebihi 15 minit itu bertujuan memberi masa kepada peniaga dan pengunjung berehat serta menunaikan solat Maghrib.
Fattah-MahmoodKUALA LUMPUR: Semua peniaga, termasuk bukan Islam di Kelantan perlu menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib, kata exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan itu berkata, arahan itu bagi memastikan semua pihak, termasuk pembeli boleh menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan kegiatan masing-masing.
“Semua peniaga terlibat, termasuk bukan Islam. Ini dapat memberi masa kepada mereka untuk berehat dan menunaikan sembahyang.
“Lagipun ia bukannya lama, kira-kira 10 minit sahaja. Yang penting tiada perniagaan ketika azan dan boleh sambung semula urus niaga selepas sembahyang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Dasar tersebut dimulakan Majlis Perbandaran Kota Bharu, sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu, tahun lalu.
Mengulas lanjut, Fattah berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib sebagai pemberitahuan kepada peniaga untuk menghentikan operasi, manakala wisel ke-2 akan dibunyikan 2 kali 10 minit kemudian.
Katanya, pemantauan sudah dimulakan di pasar malam utama setiap PBT, sebelum diperluaskan ke premis lain.
“Ia dibuat oleh penguat kuasa lantikan PBT dengan kerjasama jawatankuasa persatuan peniaga sendiri yang kita gelar sebagai ‘rakan penguat kuasa’. Mereka juga berperanan mengingatkan peniaga lain.”

Beliau berkata, peniaga yang ingkar arahan akan diberikan amaran terlebih dahulu, sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil.
“Sama seperti penguatkuasaan tahap kebersihan. Mereka akan dibenarkan berniaga semula selepas membuat aku janji untuk mematuhi arahan,” katanya sambil menambah setakat ini PBT mendapat kerjasama baik daripada peniaga dan orang ramai.
“Sebelum ini, kita keluarkan arahan kepada pasar raya di bandar-bandar utama menghentikan urus niaga ketika azan Maghrib. Ini memberi ruang kepada semua pekerja, termasuk di kaunter bayaran untuk berehat seketika.
“Ramai pengunjung, termasuk ahli akademik dari luar negara memuji langkah itu. Dasar ini untuk peniaga dan pembeli, bukan untuk kerajaan negeri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA