Rabu, 19 April 2017

Exco Johor didakwa dengan 33 pertuduhan libatkan RM30 juta

Abdul Latif Bandi kini bercuti panjang selepas penahanan beliau bulan lalu.
Abdul-Latif-Bandi_law_600
Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.
Latif, yang mempengerusikan Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu, 2 minggu selepas anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 25 dan pegawai khasnya Muhammad Idzuan Jamalludin ditahan.
Mereka disiasat dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.
SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.
Turut didakwa hari ini ialah Amir Sharifuddin Abdul Raub.
Latif didakwa bersubahat dengan Amir yang menjadi orang tengah untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic di Pulai.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 28(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM2 juta seorang, dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA