Jumaat, 14 April 2017

DULU SYURGA, KINI WANG JUTA2...

Masa saya dalam saf kepimpinan Pas dulu tak timbul langsung duit berjuta-juta. Pergi ceramah seluruh dunia duit minyak disediakan oleh cawangan atau Kawasan yang menganjur. Kadang-kadang cukup,  kadang-kadang tidak. 

Kalau program Pas Pusat kena keluar duit sendiri. Jika ceramah di luar negara, tiket disediakan pergi balik oleh pengajur. Tak ada  bayaran apa pun diberi. Duit poket sendiri ala kadar. Pernah juga pergi poket kosong. 

Saya pernah di tahan di LT Chicago kerana tiket sehala dan hanya ada RM100 USD. Tetapi dibenar juga masuk kerana dijamin Sayed Azman dan kawan-kawannya. Saya sering balik ke rumah tangan kosong tanpa bawa apa-apa buah tangan kpd anak-anak kerana tiada wang untuk beli apa-apa.

Semasa dalam UMNO saya berjimat dari elaun berkerja di YADIM selama 10 tahun dan dapat  kumpul RM400 ribu yang saya guna untuk bina rumah yang ada sekarang. Itulah habuan saya menyertai politik selama 39 tahun. 

Banyak orang kata saya bodoh tak ambil kesempatan. Ya! Saya memang bodoh untuk ambil kesempatan mengumpul kekayaan. Macam mana saya nak ambil kesempatan kerana jika saya pakai RM10 sahaja pun dari duit bukan hak saya, saya dah tak boleh  tidur sehingga saya terpaksa ganti kembali duit yang saya pakai itu. 

Sebab itu saya tak pernah urus kewangan semasa bertugas di YADIM. Biarlah saya jadi bodoh dari tak dapat tidur.

Masa bekerja  di pejabat UMNO saya minta wang daripada Dato' Mohamad Rahmat SUA ( Allahyarham Tan Sri) untuk bertugas dalam PK Merlimau. Dia bagi saya RM1,000. Saya rasa dah banyak sangat dah. Ada yang beritahu saya buat apa minta sikit sangat. Saya kata sekadar nak belanja kawan-kawan  minum cukup la tu. 

Lagi sekali dia orang kata saya bodoh. Saleh Ya'kub Baling kata kat saya, Ustaz buka pondok dah la. 

Sekarang dunia dah berubah. Dalam PAS pun sudah ada cerita wang berjuta. Dulu makan nasi bungkus sekarang tiada lagi. Dulu tidur berbantal lengan di surau, sekarang hotel-hotel mewah. Itu dulu. Dulu lain sekarang lain. 

Perjuangan orang dahulu menghidupkan, perjuangan sekarang dengan segala kemewahan meruntuhkan yang dibina oleh orang terdahulu. Kita semua akan mati dan akan dibangkit dengan niat dan amalan masing-masing. 

Jika tak malu kepada Allah, buatlah apa sahaja yang disukai.

Ustaz Nakhaie Ahmad
Bekas Naib Presiden Pas.

 
Artikel di atas adalah tulisan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, bekas Naib Presiden Pas yang dipetik daripada laman Facebooknya. (Saya cuma buat beberapa pembetulan, terutama dari segi ejaan untuk kemudahan dan keselesaan pembaca semua).

Daripada apa yang ditulis oleh Ustaz Nakhaie serta dibandingkan dengan realiti yang selalu terpampang di depan mata kita , nyata Pas memang banyak berbeza. Barangkali pemimpin Pas terakhir yang hidup sederhana, tidak berubah dan kekal macam orang biasa ialah bekas Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat satu-satunya saja.

Sekarang Range Rover, Mercedes, BMW, Velfire, Audi  atau Mini Cooper sudah jadi mainan biasa-biasa. Wang pula sudah main juta-juta.

Berkawan dan berbaik dengan pelaku skandal paling dahsyat dalam dunia juga tidak sedikit rasa malu di muka, walaupun dalam ceramah berdegar-debar berbicara tentang kemungkaran, kezaliman serta syurga dan negara.

Dulu Pas hanya bermodalkan agama, mereka benci pihak lain yang menjaja bangsa. Hari ini bukan saja berkawan baik dengan orang yang menjual bangsa, malah mereka campurkan sekali agama dan bangsa sebagai modal terbaru untuk dijaja.

Sepuluh atau 20 tahun akan datang, entah apa lagi di luar jangka tentang Pas yang berlaku di depan mata generasi kita, di sebalik mungkin agama terus dijadikan bahan jajaan merata-rata.

Memang benar kata Ustaz Nakhaie - dunia sudah berubah dan dulu lain, sekarang lain.

Dulu, yang dikejar adalah syurga yang kekal abadi selama-lamanya, sekarang wang berjuta-juta juga adalah "syurga"  yang dicari-cari untuk dunia.

1 ulasan:

  1. 20 thn lg semua jd mcm ayoh ping. hahahaha.....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA